Sabtu, 19 September 2009

Murid istimewa SKL bakar lemang


Guru-guru bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Lubok membakar lemang dalam program Gema Syawal di Batu Pahat, kelmarin.


BATU PAHAT 18 Sept. - Seramai 40 murid pendidikan khas dan tahun enam Sekolah Kebangsaan Lubok (SKL), Semerah bergotong-royong bersama 20 guru menjayakan program Gema Syawal dengan memasak 200 batang lemang semalam.

Guru Besar SKL, Abdul Halim Samad berkata, program berkenaan diharap dapat mengeratkan hubungan serta rasa tanggungjawab antara guru dan murid pendidikan khas sekolah berkenaan.

Program yang dibimbing oleh seorang mentor, Mohd. Anuar Ismail itu nyata memberi peluang kepada murid-murid istimewa itu bersama-sama memasak dengan guru mereka di samping merasai kemeriahan sambutan menjelang 1 Syawal.

Menurutnya, program itu juga untuk mendedahkan murid-murid berkenaan mengenai makanan tradisi hari raya yang terdapat di dalam negara walaupun ia bukan makanan tradisi negeri Johor.

Melalui aktiviti itu, ia dapat melatih murid-murid tersebut bersifat sabar dan dedikasi serta fokus dalam melakukan sesuatu kerja serta melatih mereka melakukan sesuatu secara berpasukan.

Selain didedahkan dengan cara penyediaan lemang, peserta turut memasak serunding daging, memarut kelapa, memerah santan, menyabit kelapa dan membakar lemang.

Utusan Malaysia Online: 19 September 2009

Tiada ulasan: