Isnin, 28 September 2009

SRJKC terus amal sikap berjaga-jaga

PASIR PUTEH - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Kai Chih terus memupuk kesedaran dalam kalangan warganya, mengenai bahaya wabak Influenza A (H1N1) walaupun kes mengenainya mula berkurangan.

Guru Besarnya, Lee Cha Yop berkata, kesedaran mengenai pencegahan penyakit berbahaya perlu dibuat dari awal lagi bagi mengelak kanak-kanak yang bakal mewarisi kepimpinan negara menjadi mangsa.

Kata, guru dan ibu bapa mesti terus memainkan peranan memupuk kesedaran kepada anak-anak agar berusaha berlindung dari wabak melanda negara ketika ini.

Katanya, dalam keadaan H1N1 yang belum mempunyai ubat, kaedah pencegahan perlu diberi keutamaan khususnya kepada kanak-kanak yang belum sepenuhnya memahami wabak itu.

“Saya berharap, anak-anak ini tidak dibawa mengunjungi kawasan orang ramai berkumpul kerana ia cukup berisiko dihinggapi wabak tersebut.

“Kesedaran memakai topeng muka ini perlu dipupuk setiap hari sehingga negara kita benar-benar selamat daripada ancaman wabak H1N1, dapatkan rawatan doktor seberapa segera jika mengalami demam atau selesema,” katanya selepas mengagihkan topeng muka kepada warga SRJKKC yang disumbangkan Pengerusi MCA Bahagian Pasir Puteh, Lee Kok Seng.

Cha Yop berkata, keprihatinan yang ditunjukkan pimpinan masyarakat mampu memacu kehidupan lebih baik, apatah lagi kepada generasi baru yang disandarkan harapan besar untuk membangunkan negara suatu masa nanti.

Sinar Harian: 28 September 2009

Tiada ulasan: