rencana@hmetro.com.my
KELAB Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor menunjukkan prestasi terbaik dalam sukan itu apabila menjuarai Kejohanan Bola Selak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) Daerah Hulu Selangor sebanyak dua kali.
Prinsip pasukan iaitu 'kesungguhan berjuang membuahkan kejayaan berharga yang sentiasa dipegang ahlinya menjadi pendorong menunjukkan prestasi meyakinkan setiap kali beraksi.
Ketiadaan padang bola sepak sendiri bukan penghalang jurulatih dan guru merencanakan kejayaan yang mampu mengejutkan pasukan 'gergasi' lain di Hulu Selangor.
Guru penyelaras kelab, Kamarul Izham Abu Bakar, berkata sekolah mereka mempunyai murid berbakat bermain bola sepak yang digilap seawal usia 10 tahun.
Katanya, pemain sekolah menjalani latihan intensif selama empat bulan sebelum bertanding di kejohanan daerah. Mereka menggunakan padang permainan taman perumahan di Bukit Sentosa untuk berlatih.
"Murid dilatih selama empat jam sehari dengan bimbingan jurulatih kelab, Khairul Badli Abd Rahman.
"Latihan dilakukan empat hari seminggu itu banyak menekankan teknik menghantar bola, menjaringkan gol, menggelecek bola dan menyepak dengan betul," katanya.
Menurutnya, kejayaan pasukan kelab mempertahankan kejuaraan di kejohanan peringkat daerah Hulu Selangor menumpaskan SK Taman Bunga Raya dengan jaringan 2 -1, menjadi kenangan manis buat mereka.
Katanya, dengan sokongan Guru Besar, Nor Shakila Kamaluddin dan barisan jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mereka bersemangat menjulang nama sekolah.
"Baru-baru ini, kami menjalani sesi pemilihan khas dan memilih 15 pemain muda untuk menyarung jersi sekolah tahun depan.
"Suntikan semangat pemain yang sentiasa mendapat ganjaran dan pulangan material membolehkan mereka meneruskan perjuangan," katanya.
Kamarul berkata, lima pemainnya mewakili daerah Hulu Selangor ke kejohanan peringkat Selangor di Kuala Langat.
"Kita berharap pemain yang dipilih mewakili daerah dan Selangor menunjukkan prestasi cemerlang mengharumkan nama sekolah," katanya.
>Profil
NAMA SEKOLAH: Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Hulu Selangor
TARAF: Sekolah Gred A
GURU BESAR: Nor Shakila Kamaluddin
BILANGAN MURID: 2,650 orang
BILANGAN GURU: 118 orang
NAMA KELAB: Kelab Bola Sepak
GURU PENYELARAS: Kamarul Izham Abu Bakar
JURULATIH: Khairul Badli Abd Rahman
TARIKH PENUBUHAN: 2004
AHLI: 240 orang
myMetro: 18 September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan