Ahad, 13 September 2009

140 pelajar khatam al-Quran 19 jam

JOHOR BAHRU 12 Sept. - Sebanyak 140 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya di sini berjaya melakukan program 'Quran Ton' iaitu mengkhatam bacaan al-Quran selama 19 jam tanpa henti.

Pengetua SMK Taman Daya, Azizah Zaki berkata, program anjuran Majlis Pemimpin Pelajar Pra Universiti sekolah itu diadakan bagi menyemarakkan 10 hari terakhir Ramadan mulai pukul 3 petang semalam hingga 10 pagi ini.

''Program itu disertai 140 pelajar tingkat satu hingga tingkatan enam sekolah ini,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Quran Ton di sini hari ini.

Azizah berkata, program itu dikendalikan oleh guru penyelaras, Noorhayati Md. Salleh dan setiap satu juzuk setengah al-Quran dibahagikan kepada tiga pelajar untuk dihabiskan pembacaan.

Menurutnya, mereka kemudian dipantau oleh seorang mentor yang berperanan menyemak bacaan dari segi tajwid dan sebagainya.

''Dengan kewujudan kumpulan itu kita berjaya khatam membaca 30 juzuk kitab suci itu bermula pukul 3 petang semalam dan berakhir 10 pagi tadi.

''Bagi pelajar yang tak lancar kita wujudkan kumpulan pembimbing sampai mereka lancar," katanya.

Azizah memberitahu, tujuan pihak sekolah mengadakan program itu ialah bagi membolehkan pelajar berkenaan menghayati 10 malam terakhir Ramadan.

''Jadi pengisiannya ialah dengan membaca al-Quran, sembahyang tarawih, tasbih, qiamullail dan amalan lain yang bertujuan membentuk siasah diri mereka serta mempunyai jati diri yang tulen," katanya.

Menurutnya, di samping itu, menerusi program 'Setitis Kasih Selaut Harapan' pihaknya telah menyampaikan bantuan kepada 42 pelajar miskin dan anak yatim.

Azizah berkata, menerusi program itu mereka menerima sumbangan bernilai sekitar RM10,000 di mana setiap pelajar menerima baju hari raya, kuih-muih, barangan keperluan harian serta wang tunai RM125.

Beliau berkata, sumbangan sebanyak RM10,000 itu diperoleh hasil sumbangan para pelajar sekolah berkenaan, guru dan kakitangan sokongan, para dermawan dan masyarakat setempat.

Utusan Malaysia Online: 14 September 2009

Tiada ulasan: