Jumaat, 25 September 2009

Kisah sedih anak buta


NAFISAH Ismail memberi tunjuk ajar menggunakan tulisan Braile kepada murid istimewa di SKPK Princess Elizabeth di Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 24 Sept. - Walaupun kebanyakan murid cacat penglihatan yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di sini gembira untuk pulang beraya di rumah masing-masing, namun segelintir daripadanya mempunyai kisah sebaliknya.

Ini kerana ada ibu bapa yang tidak menjemput mereka balik ke rumah dan ada juga murid istimewa itu sendiri yang tidak mahu pulang beraya.

Anak-anak istimewa yang berusia antara enam hingga 12 tahun di sekolah itu, datang dari seluruh Semenanjung tanah air dengan sebahagian daripadanya tinggal di asrama.

Guru Besar sekolah itu, Nafisah Ismail, 51, berkata, kisah sedih semasa Aidilfitri berlaku hampir setiap tahun dan pelbagai faktor menjadi penyebab antaranya sikap segelintir ahli keluarga yang menganggap anak istimewa itu hanya membeban dan memalukan mereka.

"Pernah berlaku, satu keluarga yang tinggal di bandar raya ini tidak menjemput anak mereka di asrama untuk pulang beraya walaupun setelah banyak kali dihubungi pihak sekolah.

"Kecewa dengan sikap itu, kami menggunakan taktik memaklumkan kononnya anak itu akan diserahkan ke balai polis jika mereka tidak datang mengambilnya dalam masa 45 minit. Tak sampai setengah jam, mereka dah sampai," katanya ketika ditemui di sekolah itu baru-baru ini.

Nafisah berkata, bagi anak-anak istimewa yang tidak mendapat perhatian keluarga tentunya berasa sedih mengenang diri tidak diperlukan sehingga lama kelamaan ada yang tidak berminat pulang ke rumah walaupun untuk menyambut hari raya.

Katanya, ada anak istimewa yang mengadu ketika di rumah, ahli keluarga tidak mahu membawa keluar berjalan-jalan sebaliknya terperuk di rumah tanpa mendapat layanan kasih sayang secukupnya dan tiada kawan untuk bermain.

Bagaimanapun, katanya, ada juga ahli keluarga murid yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan tinggal jauh di luar negeri ini, menyebabkan mereka tidak mampu menjemput anak di sekolah untuk pulang beraya.

"Walau apa pun sebabnya, pihak sekolah akan berusaha memastikan semua anak istimewa ini pulang beraya tanpa mengira kemahuan keluarga atau murid tersebut.

"Jalan terakhir, pihak sekolah akan menemani dan menghantar murid tersebut terus ke rumah keluarga mereka," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 September 2009

Tiada ulasan: