PUTRAJAYA - Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) (SKPP9) (1) terpilih sebagai perintis Projek Pembelajaran Terupaya Komputer 1:1 bagi meningkatkan keupayaan pembelajaran kendiri murid, yang akan dilaksanakan mulai bulan depan.
Guru besar, Nafishah Hassan berkata, menerusi projek terbaru di bawah program Sekolah Angkat Kementerian Pelajaran - Intel Fasa 2, seramai 552 pelajar Tahun Tiga hingga Lima akan menerima komputer riba atau Classmate Portable Computer (CPC) secara percuma untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Menurutnya, kemudahan terbaru diberikan kepada Sekolah Bestari itu bagi memudahkan murid membuat rujukan dan mendapatkan maklumat tambahan, selain menjadikan proses pembelajaran dalam kelas lebih menarik.
“Pemilihan SKPP9(1) yang ditubuhkan pada 2000 di pusat pentadbiran negara itu menjalankan projek berkenaan kerana kejayaan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan di bawah program pembestarian sekolah dalam P&P.
“Pada awal pelaksanaan projek, murid hanya akan dibenarkan menggunakan CPC di bawah bimbingan guru ketika kelas berlangsung, sebelum diberi kepercayaan penuh memanfaatkannya pada waktu rehat dan di rumah,” katanya.
Sementara itu, pelaksanaan projek bagi memangkin pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai salah satu bidang kebitaraan sekolah itu sejajar penerimaan status Sekolah Kluster Fasa Ke-3 pada 20 April lalu.
Antara sasaran yang ingin dicapai menerusi pembangunan ICT di sekolah berkenaan adalah untuk menjadikan kaedah pembelajaran memfokuskan murid sepenuhnya serta membudayakan penggunaan teknologi bagi menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan.
“Penggunaan ICT turut diterapkan dalam pembangunan dua lagi bidang kebitaraan sekolah termasuk dalam bidang tarian dan muzik menerusi gubahan lagu,” katanya.
Sinar Harian: 28 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan