Rabu, 9 September 2009

Murid lalui pemeriksaan suhu badan



PEKAN - Bagi mengelak penularan virus H1N1, sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan suhu badan kepada murid di sekolah masing-masing atas saranan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pejabat Pelajaran Daerah.

Sekolah Kebangsaan Seri Biram antara sekolah yang tidak ketinggalan melaksanakan langkah pencegahan itu bermula minggu lepas.

Penyelaras Kesihatannya, Suhaili Samsudin berkata, pemberian topeng muka, cecair pembasmi kuman dan jangka suhu oleh Pejabat Pelajaran Daerah digunakan untuk tujuan itu.

Menurutnya, pemeriksaan secara menyeluruh dijalankan ke atas setiap murid dan tidak terhad kepada calon peperiksaan sahaja.

“Sekolah turut menyediakan jangka suhu tambahan bagi memenuhi keperluan di sekolah supaya proses itu berjalan lancar.

“Proses pemeriksaan dilakukan pada setiap pagi untuk melihat suhu badan murid dan sekiranya didapati mereka mengalami suhu badan yang tinggi, mereka akan diasingkan ataupun dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Suhaili berkata, bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pemeriksaan akan dijalankan sehingga tamat peperiksaan.

“Setakat ini, proses itu berjalan lancar dan guru juga mengambil langkah berjaga-jaga terhadap murid masing-masing.

“Kepada murid di sekolah, saya berharap mereka menjaga kebersihan diri dan jangan abaikan kesihatan,” katanya.

Sekolah itu mempunyai 143 calon UPSR yang menduduki peperiksaan awam berkenaan.

Sinar Harian: 9 September 2009

Tiada ulasan: