Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan satu gedung ilmu pengetahuan yang mana individu atau kumpulan dapat mencari, memperkaya dan mempertinggi pengalaman dan pengajian.
PSS juga merupakan agen perubahan dalam sesebuah sekolah ke arah perkembangan potensi dan minat individu serta kerjasama kumpulan.
Kepentingan dan fungsi PSS dilihat mempunyai kuasa besar yang mampu memberi impak besar khusus kepada murid-murid terutamanya terhadap perkembangan intelektual mereka.
Menyedari hakikat itu telah mendorong Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Shah Alam untuk terus memperkasa fungsi PSS di sekolah tersebut bagi meningkatkan tahap literasi dalam kalangan murid-muridnya.
Guru Besarnya, Paridah Anum Tajudin berkata, pihak sekolah sentiasa optimistik dalam merencana kecemerlangan murid-muridnya.
Menurutnya, pihak sekolah telah mencipta kelainan dan keunikan di PSS sehingga berjaya merangkul beberapa anugerah sama ada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
“Kejayaan ini hasil keberkesanan PSS di sekolah ini yang berkonsepkan ‘sekolah dalam pusat sumber’.
“Idea ini tercetus rentetan senario pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang rendah berbanding rakyat di negara maju,” katanya.
Selain itu beliau berkata, perlaksanaan daripada peringkat akar umbi yang bermula dari sekolah rendah dilihat platform terbaik untuk menarik minat murid-murid terhadap budaya membaca.
Katanya, melalui konsep ‘sekolah dalam pusat sumber’ bermaksud setiap sudut di sekolah adalah Pusat Sumber yang mengandungi bahan bacaan.
“Ia salah satu usaha untuk menghakis persepsi individu yang menganggap membaca buku hanya di Pusat Sumber sahaja. Tetapi pembacaan itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja berdasarkan kreativiti sekolah untuk mencorakkan minat membaca terhadap murid-muridnya.
“Ini kerana konsep Pusat Sumber di sekolah ini ialah berdasarkan 23 koridor Pusat Sumber (Laman Bestari, Laman Nilam, Taman Maths) dan 22 rangkaian Pusat Sumber (Bilik APS, Bilik Kitar Semula, Bilik PPSMI). Ia juga merupakan salah satu mekanisme untuk menjadikan setiap bilik di sekolah sebagai perpustakaan,” katanya.
Kreativiti tersebut menurutnya, telah membantu sekolah meraih beberapa anugerah.
“Sejak 2004, PSS sekolah itu menjadi johan peringkat daerah. Walaupun PSS menjalankan fungsi sepenuhnya pada tahun 2005 tetapi tetap berjaya memenangi naib johan peringkat negeri dan tahun 2006 sekolah tersebut menjadi johan peringkat negeri.
“Namun yang lebih membanggakan 2008 telah mencatat detik bersejarah apabila merangkul johan Pertandingan Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan dalam Majlis Hari Kualiti Kementerian Pelajaran Malaysia 2008,” katanya.
Antara kriteria yang dinilai dalam pertandingan itu ialah berdasarkan tahap penguasaan pembacaan yang tinggi dalam kalangan murid-murid menerusi pemantapan menerusi Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam).
Sekolah itu terus cemerlang apabila berjaya mendapat anugerah Pengurusan Nilam terbaik peringkat negeri Selangor pada tahun 2007. Bahkan berjaya melahirkan johan tokoh Nilam peringkat negeri Selangor 2007 iaitu Nurul Radhiah Ibrahim dan naib johan tokoh Nilam peringkat negeri Selangor 2008 iaitu Adriana Zainurin.
Selain itu, pengurusan dan penggunaan adalah aspek penting dan menjadi penanda aras kepada kejayaan sesebuah Pusat Sumber.
Dengan cara ini dapat membantu untuk melakukan penambahbaikan fungsi Pusat Sumber.
Pihak sekolah turut memanfaatkan fungsi dan bahan-bahan yang terdapat dalam PSS secara optimum untuk tujuan Pembelajaran dan Pembelajaran (P&P) dan aktiviti berpersatuan.
Paridah Anum berhasrat untuk terus mengekalkan kejayaan itu pada tahun yang seterusnya. Walau bagaimanapun, pihak sekolah akan mencipta kelainan supaya Pusat Sumber ini dijadikan wadah untuk mencipta kecemerlangan murid-murid di sekolah tersebut.
“Ia juga dapat merealisasikan hasrat kementerian untuk menarik minat membaca dan meningkatkan penguasaan membaca dalam kalangan murid-murid, katanya.
Bagi Guru Perpustakaan dan Media, Rosmiah Selamat berkata, PSS juga turut menggunakan pendekatan lain untuk menarik minat murid mengunjungi Pusat Sumber.
Menurutnya, antaranya dengan menggalakkan semua panitia mata pelajaran untuk menganjurkan program yang melibatkan penyertaan semua murid dan guru.
“Guru Besar berhasrat untuk menjadikan sekolah ini sebagai sekolah cemerlang. Oleh itu, menerusi lawatan kerja ke sekolah-sekolah cemerlang beliau telah menggunakan kelebihan di sekolah berkenaan untuk diadaptasikan di sekolah ini,” katanya.
Bagaimanapun, SK Seksyen 9 akan terus menerajui kecemerlangan murid melalui pembacaan. Bagi merealisasikan tujuan itu, pihak sekolah bakal mewujudkan ‘e-book’.
Ia sebagai perintis pendedahan kepada pembacaan yang berteraskan teknologi maklumat dengan kaedah yang lebih menarik.
Konsep ‘e-book’ itu bakal diluaskan penggunaannya dan diletakkan di setiap sudut koridor di sekolah itu.
Sinar Harian: 29 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan