Rabu, 16 September 2009

Kurikulum sistem pendidikan Islam diselaras

PUTRAJAYA 15 Sept. - Kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan kurikulum dan sukatan pelajaran pendidikan Islam di bawah program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) serta Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (Lepai).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku pertindihan di antara program j-QAF yang dilaksanakan di semua sekolah kebangsaan dengan KAFA di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

''Memang kita dapati ada keperluan selaraskan kerana matlamatnya adalah sama iaitu memberikan peluang kepada anak-anak kita mendapat ilmu dalam pengajian Islam

''Ini telah disediakan dalam sistem pendidikan kebangsaan kita, di mana kita telah lama mengadakan program mata pelajaran Islam, yang terbaru sejak 2003 apabila kita perkenalkan j-QAf dari darjah satu ke darjah enam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju pendidikan Islam bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom di pejabatnya di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan turut memutuskan agar jawatankuasa khas itu meneliti bagaimana program j-QAF dapat dimantap dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah iaitu sehingga tingkatan lima.

''Kalau perlu diperkukuhkan selari dengan perkembangan dan tuntutan semasa dan kehendak masyarakat, ini akan kita laksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata, buat peringkat permulaan, usaha penyelarasan itu tidak melibatkan sistem pendidikan Islam di peringkat negeri-negeri dan sekolah agama persendirian.

''Jawatankuasa itu diberi tanggungjawab meneliti soal tenaga pengajar dan kelayakan guru selain persijilan dan akreditasi serta situasi infrastruktur," katanya.

Kata beliau, langkah itu bertujuan memastikan sistem pendidikan Islam di negara ini adalah lengkap dan sempurna.

"Kita mahu anak-anak yang belajar di sekolah kebangsaan diberikan pendidikan agama yang lengkap.

''Sebelum ini timbul pandangan bahawa pelajaran agama di sekolah kebangsaan tidak memadai, kalau itu pandangannya kita boleh menambah baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan bercadang mewujudkan dasar pembelajaran Islam sepanjang hayat yang boleh dilaksanakan melalui Jakim.

''Ini memberikan peluang kepada masyarakat Islam yang tidak berkesempatan mengikuti pendidikan Islam secara formal atau menambah ilmu untuk menguasai ilmu Islam secara mendalam.

''Kita akan teliti supaya umat Islam sentiasa dapat menimba ilmu bukan setakat nak mati, nak hidup pun kena ada asas agama seperti dalam soal menguruskan perniagaan dan muamalat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 September 2009

Tiada ulasan: