Khamis, 24 September 2009

Sentral: Budak cerdik tak diterima sekolah

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my

Pentadbir enggan terima status kewargenegaraan, anak angkat

PUTRAJAYA: Akibat kerenah birokrasi, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa berhenti sekolah selepas pentadbiran sekolah barunya enggan menerima kemasukannya kerana mendakwa status kewarganegaraan yang kabur.

Penjaga sah kanak-kanak itu, Mohd Shari Baba, 50, berkata beliau hairan mengapa anak angkatnya, Muhammad Abdul Wafa, tidak dibenarkan bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 11 di sini walaupun dia sudah mendapat hak penjagaan kanak-kanak itu daripada Mahkamah Juvana, Taiping pada Julai 2002.

Mohd Shari yang bekerja sebagai Pegawai Penilai Jabatan Insolvensi Malaysia berkata, sekolah itu memaklumkan Muhammad tidak boleh bersekolah kerana status kelahirannya diragui.

Mohd Shari berkata, pihak sekolah memintanya membuat permohonan rasmi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya secara sah sebelum diterima masuk ke sekolah.

"Saya pelik kenapa sebelum ini dia dibenarkan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Merab, tetapi apabila saya memindahkannya ke sekolah di Putrajaya, dia tidak diterima dengan alasan dia bukan anak angkat saya yang sah.

"Pihak sekolah terbabit juga memberi alasan maklumat mengenai latar belakang keluarga anak saya itu kurang jelas. Akibatnya anak saya sudah enam bulan tidak bersekolah dan terpaksa belajar sendiri di rumah," katanya yang datang ke pejabat Berita Harian di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Shari berkata, beliau mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat selepas ditemui orang awam di Ladang Malakoff, Ulu Sepetang, Taiping, Perak, pada 2002, ketika kanak-kanak itu masih bayi dipercayai berusia tiga hari.

Berikutan itu, Mohd Shari membuat permohonan dengan mahkamah untuk menjaga kanak-kanak itu sehingga berusia 17 tahun.

Katanya, beliau sudah menghubungi JKM untuk mendapatkan surat pengesahan bahawa kanak-kanak itu adalah anak angkatnya yang sah dan diminta mencari ahli keluarganya bagi memudahkan urusan terbabit.

“Dia memang seorang anak yang cerdik. Kami sekeluarga amat menyayanginya dan dialah penghibur kami," katanya yang juga bapa kepada tiga anak.

Berita Harian Online: 24 September 2009

Tiada ulasan: