Rabu, 30 September 2009

Pentadbir sekolah YIK diminta jangan 'besar kepala'

Oleh L C Fang
bhkb@bharian.com.my

Laksana dasar ditetapkan demi kecemerlangan pelajar, sekolah

KOTA BHARU: Pentadbir sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), terutama pengetua tidak wajar membuat dasar sendiri, sebaliknya harus melaksanakan dasar yang ditetapkan yayasan demi kecemerlangan pelajar dan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata segala dasar yang ditentukan itu mempunyai peranan tersendiri dan rasional untuk dilaksanakan pentadbir sekolah.

Katanya, dasar untuk mentadbir sekolah YIK bukan saja membabitkan kemantapan akademik, malah mengambil kira usaha meningkatkan imej pelajar, guru dan sekolah.

“Kita (pengetua) tidak boleh buat dasar ikut suka hati hanya disebabkan tidak setuju dengan dasar ditetapkan YIK kerana peranan kita ialah melaksanakan dasar kerajaan, kita bukan penentu dasar berkenaan.

“Misalnya, apabila kita tetapkan syarat 3A 2B untuk kemasukan ke sekolah YIK, maka kita patut jelaskan rasionalnya kepada semua pihak, bukan turut sama membantah dasar berkenaan.

“Selain, itu, sekolah YIK hendaklah berusaha melahirkan kalangan pelajar yang mempunyai keseimbangan dalam intelektual dan emosi agar mereka mampu bersosial sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian pada majlis penyerahan buku Ekspedisi Kutub Utara dan Antartika oleh penulisnya, Chua Yew Beng kepada sekolah YIK di Nilam Puri, di sini. Turut hadir ialah Pengarah YIK, Ahmad Robert Abdul Rahman.

Chua, 71, seorang pesara yang berasal dari Pasir Mas, diiktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai pengembara tertua yang sampai ke Kutub Utara dan melakukan lawatan ke 151 negara di seluruh dunia setakat ini.

Chua berkata, sebanyak 2,000 naskhah buku edisi bahasa Malaysia mengenai pengalaman ekspedisinya akan diedarkan secara percuma kepada semua sekolah kebangsaan di negeri ini dalam masa terdekat.

Berita Harian Online: 30 September 2009

Tiada ulasan: