SKSA sasar 20 murid cemerlang 5A UPSR
SUNGAI ACHEH – Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh (SKSA) mensasarkan bilangan murid yang berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seramai 20 orang.
Guru Besar SKSA, Rosli Hashim berkata, seramai 94 orang murid akan menduduki UPSR pada tahun ini yang bermula 8 hingga 10 September ini dan mensasarkan maksimum 20 orang pelajarnya akan berjaya memperoleh 5A.
Menurutnya, keputusan UPSR tahun lalu mencatatkan pencapaian 71.2 peratus dengan empat orang murid berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A dan muncul mata pelajaran terbaik bahasa Melayu peringkat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dengan 98 peratus.
“Kita mahu pencapaian tahun ini lebih baik daripada tahun sebelum ini dan kita mensasarkan pencapaian maksimum 20 orang murid akan memperoleh keputusan cemerlang UPSR tahun ini.
“Bagaimanapun, kita tetap berpuas hati sekiranya bilangan murid yang cemerlang melebihi 10 orang kerana dalam peperiksaan percubaan sebelum ini, kita sudah mempunyai tujuh orang murid yang cemerlang 5A,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Memohon Restu Murid UPSR bersama guru.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Ahmad Harun dan Yang di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hamid Sabran.
Rosli berkata, pihak sekolah sudah membuat persiapan untuk murid UPSR seperti 20 orang murid yang berpotensi dikhaskan di bilik yang istimewa agar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran.
Beliau berkata, kelas malam secara percuma turut diadakan kepada murid UPSR, bacaan Yasin setiap hari Jumaat dan pelbagai program kecemerlangan diadakan untuk meningkatkan prestasi pelajaran murid UPSR.
Menurutnya, golongan guru juga turut memberikan komitmen yang baik dan tidak pernah berkira dalam menjalankan kelas tambahan seperti kelas malam yang diberikan tanpa sebarang bayaran.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru SKSA kerana bersemangat menjalankan tugas dan memberikan komitmen yang jitu untuk melihat kejayaan murid-murid.
“Terima kasih juga diucapkan kepada pemimpin masyarakat dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Chenaam yang menaja Majlis Berbuka Puasa dan turut memainkan peranan dalam melahirkan murid yang cemerlang,” katanya.
Sinar Harian: 7 September 2009
Isnin, 7 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan