Rabu, 16 September 2009

Sayangi Sekolah: Strategi berhasil

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


SMKDP mencapai kecemerlangan hasil perancangan dan strategi kukuh pengurusan sekolah.

SMK Dato' Perdana raih kejayaan kerana perancangan rapi, pemantauan berterusan

BIARPUN usia penubuhannya baru mencecah tujuh tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Perdana (SMKDP), Bachok, Kelantan, berjaya membina reputasi membanggakan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Kecemerlangan dan pencapaian terbaik pelajar sekolah itu menyerlah saban tahun sehingga tersenarai antara Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar Kebangsaan tahun ini.

Pengiktirafan terbaru oleh Kementerian Pelajaran itu memberi makna cukup besar kepada warga SMKDP, khususnya Pengetua, Saupi Majid, yang nyata sangat berbangga dengan pencapaian itu.

Saupi berkata, banyak faktor yang mendokong kecemerlangan sekolah itu antaranya perancangan dan strategi kukuh, selain pemantauan berterusan sepanjang tahun.

Pada awal penubuhan, beliau berkata, SMKDP yang dulunya dikenali sebagai SMK Tangok menetapkan visi mencapai sasaran menjadi sekolah terunggul dan contoh di Kelantan.

SEBELAS budaya yang menjadi tonggak kecemerlangan SMKDP dipaparkan di kawasan sekolah.

“Kemajuan mula dicapai apabila sekolah ini dinaik taraf menjadi Sekolah Rancangan Khas (SRK) Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok pada 2004 dan seterusnya SRK Jabatan Pelajaran Kelantan, empat tahun kemudian.

“Seiring perkembangan itu, kelulusan 4A 1B Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan 6A Penilaian Menengah Rendah (PMR) ditetapkan sebagai syarat minimum kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Empat di sekolah ini, selain aktif kokurikulum,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kecemerlangan akademik juga melayakkan sekolah itu meraih pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Gemilang 2005 Kategori Lonjakan Saujana PMR Kecemerlangan dan Anugerah Kelulusan Am 100 Peratus Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2008.

Saupi berkata, SMKDP tidak hanya menumpukan aspek akademik semata-mata kerana sekolah itu juga memberi penekanan terhadap bakat pelajar dalam pelbagai bidang kokurikulum.

“Usaha menggilap bakat pelajar diberi tumpuan dan ternyata ia membuahkan hasil apabila berjaya merangkul beberapa anugerah dalam pelbagai pertandingan.

“Antara kejayaan pernah dicapai ialah juara Pertandingan Paint Ball Negeri Kelantan 2009, Anugerah Kaunseling Peringkat PPD Bachok 2005, penyertaan Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-8.

“Naib johan Tarian Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Negeri Kelantan 2007, Juara Kriket Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia 2008, johan Pidato Hasil Dalam Negeri Kelantan 2009,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kemahiran kepemimpinan turut diberi penekanan dengan menubuhkan Badan Pembantu Tadbir (BPT) dianggotai pengawas, pembimbing rakan sebaya, pengawas perpustakaan, ketua tingkatan, pengawas koperasi.

Katanya, BPT berperanan sebagai badan penyelaras bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang berupaya menyerlahkan bakat kepemimpinan, keyakinan, kewibawaan pelajar sekolah itu.

Saupi menjelaskan, hubungan sekolah dengan masyarakat juga diberi perhatian dengan menjayakan Program Guru Masuk Kampung sejak awal sekolah itu dibuka lagi.

Program itu antara lain bertujuan mewujudkan hubungan dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat setempat dalam menjayakan pelbagai aspek termasuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

“Sebagai pengetua, saya menaruh kepercayaan dan keyakinan tinggi pelajar sekolah ini akan terus meningkatkan kecemerlangan bukan saja dalam akademik, malah mencakupi semua aspek bagi mendepani cabaran sebagai Sekolah Cemerlang pada masa depan,” katanya.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Tiada ulasan: