Rabu, 9 September 2009

SK Dalam Ru hadapi cabaran UPSR



DALAM RU - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini cukup memberi cabaran kepada warga Sekolah Kebangsaan Dalam Ru (SKDR) apabila salah seorang calonnya disyaki mengidap Influenza A (H1N1).

Penolong Kanan Pentadbiran SKDR, Mohd Asri Daud berkata, beliau dan pihak pengurusan sekolah sedikit gusar dengan situasi berkenaan kerana bimbang ianya menjejaskan fokus calon.

Katanya, semua guru memberikan komitmen tinggi sepanjang tahun dengan menjayakan pelbagai program bagi memastikan murid mencapai keputusan baik dalam UPSR.

“Kami bimbang keadaan ini menyebabkan calon hilang fokus, walau bagaimana pun kami tetap berharap 10 calon sasaran 5A dapat mencapai keputusan tersebut,” katanya.

Salah seorang daripada calon 5A UPSR, Anis Syuhada Mat Piah, 12, terpaksa menjalani ujian di bilik berasingan semalam selepas dia disyaki mengidap H1N1.

Mohd Asri berkata, seminggu sebelum UPSR, semua calon sudah dibekalkan dengan topeng muka sebagai langkah awal sebelum menerima bekalan topeng yang disediakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk dipakai semasa peperiksaan berlangsung.

Guru juga katanya, akan mencatat bacaan suhu badan semua calon UPSR bagi mengesan calon yang menghadapi masalah kesihatan lebih awal sebelum dirujuk ke hospital.

Selain Anis Syuhada, seorang lagi murid perempuan sekolah berkenaan, Sakira Mat Jali, 12, terpaksa menduduki ujian di Hospital Tengku Anis (HTA) kerana demam dan muntah-muntah ketika beratur untuk ke dewan peperiksaan pada jam 7.45 pagi semalam.

Pihak Lembaga Peperiksaan dengan kerjasama kakitangan hospital menempatkan calon berkenaan di bilik khas dengan seorang ketua pengawas dan pengawas bagi membolehkannya menduduki peperiksaan.

Beberapa petugas media juga turut dilarang mengambil gambar di dewan peperiksaan sekolah berkenaan oleh pengawas yang bertugas kerana didakwa menyalahi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Sinar Harian: 9 September 2009

Tiada ulasan: