Jumaat, 11 September 2009

SAR nafi terima bantuan kerajaan




GUAR CHEMPEDAK - Seorang pen:tadbir Sekolah Agama Rakyat (SAR) menafikan pihaknya menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri sebagaimana yang dilaporkan akhbar ini, semalam.

Setiausaha Lembaga Tadbir Sekolah Menengah Agama Taufikiah Al-Khairiah (Pondok Pak Ya Junid), Padang Lumat, di sini, Mohd Najib Fahmi Yahya berkata, sumbangan yang disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bukan kepada SAR tetapi sekolah yang berstatus Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan juga sekolah agama milik Pas.

“Sumbangan dikatakan kepada SAR sebenarnya tidak benar dan pihak kami langsung tidak menerima bantuan daripada mereka sehingga hari ini.

“Laporan seperti ini akan menyukarkan pihak kami mendapat bantuan daripda orang ramai kerana ramai yang beranggapan bahawa kami sudah menerima bantuan daripda Kerajaan Negeri Kedah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Najib berkata, SAR yang terdapat di Kedah hanya 12 buah sahaja kerana kebanyakan sudah bertukar status menjadi SABK.

“Saya juga ada menghubungi petadbir SAR yang lain dan mereka juga mengadu hal yang sama, iaitu tidak mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri sebagaimana yang didakwa,” katanya.

“Sebelum ini, ada juga laporan seumpama ini dibuat oleh Kerajaan Negeri dan kesannya sangat teruk kepada kami di mana banyak surat bantuan yang kami hantar kepada orang ramai tidak berbalas.

“Sepatutnya Ramadan kami senang memperoleh bantuan daripada orang ramai tetapi disebabkan hal ini, bantuan yang kami terima semakin berkurangan,” katanya.

Mohd Najib berkata, dalam manifesto Pas yang lalu, parti itu menjanjikan SAR akan menerima bantuan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Tiada bezanya kerjaan Pas atau Kerjaan Barisan Nasional (BN) memerintah, kami di SAR memang tidak dapat bantuan daripada mereka dan kami berdikari untuk memperoleh dana sekolah.

“Kami tidak kisah kalau tidak dapat bantuan daripada mereka kerana memang sejak awal penubuhan sekolah ini, kami tidak pernah menerima bantuan kerajaan tetapi yang kami kesali adalah kenyataan seperti ini yang boleh menjejaskan sumber kewangan kami,” katanya.

Mohd Najib berkata, SAR hanya menerima bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah sahaja setakat ini selain sumbangan daripada orang ramai.

Sinar Harian: 11 September 2009

Tiada ulasan: