Jumaat, 11 September 2009

Kemahiran ‘soft skill’ pakej penting





BUKIT JELUTONG – Setiap pelajar bukan sahaja perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti di dalam kelas semata-mata, malah mereka perlu meluaskan aktiviti di luar bilik darjah yang ternyata memberi banyak manfaat dalam pembentukan sahsiah diri.

Projek Khidmat Kemasyarakatan merupakan aktiviti luar bilik darjah yang mampu memberi impak besar kepada pelajar supaya dikenali sebagai golongan yang kompeten.

Menyedari kepentingan itu ia mendorong Panitia Pendidikan Sivik dan Kenegaraan (PSK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutung menganjurkan Program Taman Impiana, di sini.

Seramai 260 pelajar tingkatan empat terlibat dalam projek tersebut serta empat guru yang mengajar mata pelajaran itu.

Guru PSK, Zalina Arshad berkata, pihak sekolah sentiasa optimistik dengan penglibatan pelajar dalam program bercorakkan khidmat kemasyarakatan.

Menurutnya, selain menggalakkan dan mendedahkan pelajar kepada kerja amal ia juga untuk melengkapkan syarat mata pelajaran berkenaan.

“Dalam projek ini, setiap kelas dikehendaki menyediakan taman mini di ruangan yang disediakan berdasarkan kreativiti dan konsep yang mereka pilih.

“Antara kriteria pokok bunga yang diperlukan adalah pokok bunga yang mudah dijaga seperti kaktus,” katanya.

Selain itu beliau berkata, walaupun pelajar sekolah itu sering terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, namun yang paling utama mereka dapat menyumbangkan tenaga untuk mencantikkan kawasan sekolah menerusi projek tersebut.

Antara lain objektif projek itu ialah melatih pelajar untuk berdikari dengan menjaga pokok sebagai komuniti yang berguna dan mengeratkan hubungan antara guru dengan pelajar.

Zalina berkata, pihak Panitia berusaha untuk menjadikan projek tersebut sebagai aktiviti wajib kepada semua pelajar kerana ia dapat membina kemahiran ‘soft skill’ kepada pelajar bagi melengkapkan diri sebagai golongan yang cemerlang dan gemilang.

Difahamkan, kejayaan projek tersebut adalah hasil sokongan padu daripada pihak pentadbir, khususnya pengetuanya iaitu Datin Aisah Jaman.

Sinar Harian: 11 September 2009

Tiada ulasan: