SAS terus perkasa potensi pelajar
Pencapaian cemerlang pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, nyata menyuntik semangat juang pelajar meneruskan pencapaian cemerlang mereka seterusnya apabila memasuki Sekolah Sultan Alam Shah (SAS). Menjelang peperiksaan itu pada 8 September ini, Wartawan SITI HAZLINDA TAHIR berkesempatan menemu bual Pengetua dan Kaunselor SAS bagi berkongsi cerita kehidupan pelajar cemerlang UPSR di sekolah berasrama penuh (SBP) berkenaan.
Kesemua pelajar Tingkatan Satu yang datang ke sekolah ini datang dengan keputusan cemerlang 5A dan mereka memiliki kriteria tambahan iaitu yang paling penting dari segi kepimpinan dalam akademik sudah semestinya.
“Kepimpinan yang dimaksudkan ialah seperti pelajar tersebut menjadi pengawas, ketua pengawas dan sebagainya kerana di sekolah ini memang diterapkan agenda melahirkan pemimpin negara.
“Selain itu, pencapaian dalam kokurikulum baik dalam sukan dan juga persatuan atau kelab yang mewakili peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, semasa pelajar itu di sekolah rendah, mereka tidak dapat merasai pengalaman hidup dalam kelompok yang ramai dan berkumpul iaitu tinggal di asrama secara berdikari.
“Sebelum ini, mereka tinggal di rumah dan dijaga oleh ibu bapa mereka dan segala permintaan dapat dipenuhi. Namun, ada sedikit kejutan apabila mereka masuk di asrama penuh SAS sebab mereka berada di sini dia bukan setakat 8 atau 12 jam sekolah.
“Selepas 8 jam mereka perlu ada di asrama basuh baju, makan, jadualnya agak ketat. Contohnya, jam 5 petang, mereka harus ada di padang kemudian jam 6.30 malam mesti perlu bersiap-siap untuk makan malam dan jam 7.15 malam mesti berada di surau, Jam 9 mesti berada di kelas persediaan,” katanya.
Mereka di saran melakukan aktiviti sedemikian di rumah di bawah pengawasan ibu bapa tetapi secara longgar.
“Bagi saya, pelajar memimpin diri sendiri amat penting bagi situasi ini, itu yang utama. Kemudian mereka perlu memimpin untuk orang lain,” katanya.
Selain itu, mereka juga diberikan pendedahan yang meluas untuk persediaan menyesuaikan diri untuk ke dunia luar. Contohnya pelajar berpeluang untuk ke Jepun mewakili Pertandingan F1 pada September ini.
Menurut Kamaludin, SAS diwujudkan untuk melatih pelajar berdikari dan juga melahirkan generasi yang terbaik.
“Kita mempunyai rekod yang menunjukkan kebanyakan pelajar kita dapat meneruskan pengajian ke luar negara dengan bantuan pelbagai biasiswa dan sebagainya. Selain itu, pelajar juga didedahkan lima bahasa asing seperti bahasa Jepun, Mandarin, Arab, Perancis dan Inggeris sebagai persediaan komunikasi mereka,” katanya.
Kaunselor SAS, Mohd Nasir Mustapha
Pelajar di SAS hidup dalam semangat kerjasama erat dan saling tolong menolong antara satu sama lain kerana mereka menjalani kehidupan bercampur satu bilik dan segalanya dilakukan secara bersama seperti makan, solat, beriadah dan belajar dalam bilik persediaan.
“Selain itu, agenda sekolah yang sememangnya melahirkan pemimpin Melayu cemerlang, mereka membesar di sini dengan memang disemaikan sifat-sifat dan nilai-nilai yang murni seperti menghormati orang tua, rajin dan sebagainya kerana ciri-ciri tersebut perlu ada dalam diri seorang pemimpin,” katanya.
Selain itu, hubungan antara pelajar tingkatan baik Tingkatan Satu hingga Lima dengan guru amat rapat sebab mereka selalu berjumpa baik di asrama mahupun di sekolah.
“Ada juga yang dalam kalangan mereka yang tidak balik ke kampung pada masa cuti semester dan menghabiskan masa di asrama bersama rakan-rakan yang lain dan ada juga yang mengikuti rakan-rakan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.
Menurutnya, pelajar yang ada di SAS perlu saling tolong menolong dan mengharungi kehidupan dalam pelbagai keadaan secara bersama. Mereka seperti adik-beradik dan sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Sinar Harian: 7 September 2009
Isnin, 7 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan