Khamis, 17 September 2009

Guru DG41 rugi akibat 'time based'

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mendakwa kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) secara 'time based' dari DG41 ke DG44 hanya menguntungkan sebilangan kecil pegawai peringkat berkenaan.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata akibat pelaksanaan bersifat terpilih itu, ramai PPPS DG41, DG44 dan DG48 yang dulunya pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) mengalami kerugian dari segi kekananan perkhidmatan.

“Kaedah pelaksanaan terbabit menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian besar PPPS yang tidak terbabit dengan kenaikan pangkat secara ‘time based’ dari DG41 ke DG44.

“Selain itu, mereka juga rugi dari segi kedudukan dalam perkhidmatan, ditambah pula dengan bilangan ramai dilantik ke Gred DG44 melalui pelbagai laluan kerjaya PPPS,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Bagi memberi keadilan kepada semua warga pendidik dan mengatasi rasa tidak puas hati mereka, pihaknya mencadangkan pemberian tiga tahun pengalaman PPPLD bersamaan satu tahun bagi mereka di Gred DG41.

Pemberian maksimum tiga tahun pengalaman PPPS pula, katanya, diberikan kepada semua guru terbabit.

Sambil menjelaskan pengalaman di Gred PPPS itu juga diiktiraf sebagai kekananan pegawai berkenaan, bukan saja untuk kenaikan pangkat, beliau berkata:

“Dalam hal ini, pengumuman kenaikan pangkat guru melalui laluan kerjaya PPPS dari DG41 ke DG44 dengan mengambil kira pengalaman tahun lalu melegakan sebahagian pegawai terbabit.

“Bagaimanapun, faedahnya hanya dinikmati segelintir pihak dan ini mencerminkan pelaksanaannya seolah-olah tidak dirancang dengan teliti.

“Selain pengumuman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Melaka, perkara ini terkandung dalam minit mesyuarat wakil kesatuan guru dengan Ketua Setiausaha Negara serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 8 Mei 2008 dan 25 Ogos 2008,” katanya.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Tiada ulasan: