Khamis, 10 September 2009

SMK Methodist ACS sasar jadi sekolah ulung 2015



KLANG – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS terus melakar kegemilangan apabila menganjurkan Karnival Gerkorama ACS 2009 kali ke empat.

Bagaimanapun, penganjuran program kali ini memberi kelainan kerana diadakan secara besar-besaran buat julung kalinya serta menampilkan artis seperti Bunkface, Hafiz Hamido, Aiman dan Kumpulan HMC.

Timbalan pengerusi program, Mohd Ariff Sujud berkata, idea menganjurkan program tersebut sebagai platform mengumpul dana bagi menaiktarafkan infrastruktur kokurikulum sekolah seperti papan kenyataan, alat permainan dan gelanggang permainan.

Menurutnya, pihak sekolah menyasarkan kutipan dana lebih daripada RM 20, 000 dalam program pada kali ini. Selain itu, syarikat telekomunikasi terkenal, Celcom menjadi penaja utama dan banyak membantu menjayakan program berkenaan.

“Menerusi program ini juga dapat mengumpulkan semula bekas-bekas pelajar. Secara tidak langsung ia dapat menghidupkan semula Kelab Alumni pelajar yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Program tersebut diadakan selama enam hari bermula pada 13 Julai lalu.

:“Antara pengisian aktiviti sempena program ini ialah Pertandingan Boling secara tertutup antara guru dan pelajar, Demonstrasi daripada Bomba, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, pameran pendidikan daripada institut pengajian tinggi (IPT) dan gerai jualan.

“Namun yang lebih menarik terdapat taman kanak-kanak yang mana menempatkan anak-anak untuk dijaga sementara ibu bapa mereka membeli belah dalam karnival ini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, melalui program tersebut ia dapat menjadi platform untuk memupuk minat pelajar menceburi bidang keusahawanan dan menjadikan bidang itu sebagai satu peluang kerjaya yang kurang dipelopori oleh golongan belia.

Difahamkan, perasmian yang berkonsepkan 1Malaysia telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Methodist ACS (YDPPIBG), Mark Tan.

Sementara itu pengetuanya, Siti Zaiton Selamat berkata, penganjuran karnival tersebut merupakan salah satu agenda SMK Methodist ACS untuk ‘penjenamaan semula ACS’ juga memperkasa kegemilangan ACS yang pernah di kecapi sewaktu ketika dahulu.

Menurutnya, sedikit masa dulu SMK Methodis ACS sangat terkenal dan banyak pihak begitu ‘gerun’ dengan kehebatan ACS bukan sahaja dalam aspek kecemerlangan akademik tetapi juga kecemerlangan kokurikulum.

“Memandangkan kebelakangan ini, prestasi SMK Methodis ACS mengalami sedikit penurunan telah mendorong saya untuk mengambil tindakan proaktif dengan melakukan ‘penjenamaan semula’ bagi menaikkan kembali reputasi itu.

“Pelajar SMK Methodis ACS mempunyai bakat dalam bidang korporat (berniaga) dan juga seni muzik. Ia juga merupakan satu cara untuk menghidupkan kembali semangat ETOS (nilai dan budaya sekolah primer seperti kecemerlangan dalam akademik dan kokuri�kulum) dan menaikkan ACSian iaitu semangat rasa kepunyaan ACS kepada seluruh warganya,” katanya.

Selain itu, untuk merealisasikan hasrat itu telah mendorong pihak sekolah merangka pelbagai program antaranya seperti Program sayangi sekolah.

Menerusi program tersebut dapat menggalakkan pelajar menyertai pelbagai program anjuran sekolah. Secara tidak langsung dapat menggilap bakat ramai pelajar sebagai mekanisme terbaik untuk melahirkan pelajar yang keterampilan.

“Kini SMK Methodis ACS dikenali sebagai sekolah yang tertua di Klang dan dikenal pasti sebagai sekolah yang ketiga tertua di Malaysia,” katanya.

Siti Zaiton berharap, ‘penjenamaan semula ACS’ dapat dilaksanakan dengan sempurna serta merealisasikan visi sekolah tersebut menjadi sekolah terulung di negeri ini menjelang 2015.

Sinar Harian: 10 September 2009

Tiada ulasan: