KUANTAN - Pelajar istimewa harus diberi peluang untuk mengetengahkan bakat dan kemahiran mereka supaya membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik selepas tamat persekolahan.
Guru Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai, Che Zaini Yusof berkata, bengkel kraf tangan manik yang dikhususkan kepada pelajar istimewa mampu menjadi medium terbaik dalam membantu golongan itu menyara kehidupan selepas tamat persekolahan.
Menurutnya, bengkel yang beroperasi sejak 2003 itu sudah banyak memperlihatkan kemampuan pelajarnya malah kerja kraf tangan yang dihasilkan turut dikagumi guru di sekolah itu.
“Produk manik yang dihasilkan semakin bertambah jika dibandingkan pada awal dahulu.
“Pada tahun pertama, mereka hanya diajar untuk membuat rantai dan gelang manik, tetapi kini mereka berjaya menghasilkan tas tangan, pasu bunga dan kotak tisu malah ia dapat menarik perhatian guru untuk menempah produk berkenaan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.
Che Zaini berkata, seramai 19 pelajar istimewa terbabit dalam bengkel kraf tangan itu dan mereka diajar secara berperingkat mengikuti tahap kemahiran masing-masing.
“Ada sebahagian pelajar mahir dan ada juga masih memerlukan bantuan guru untuk menghasilkan sesuatu produk.
“Ia tidak menjadi masalah kerana dengan kekurangan mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, guru pasti sabar untuk melihat mereka berjaya,” katanya.
Beliau tujuh tahun mengendalikan bengkel berkenaan juga berpuas hati dengan kesungguhan pelajarnya untuk mempelajari kemahiran berkenaan.
“Setakat ini, saya gembira dengan kemampuan dan minat mereka untuk mendalami kemahiran, tidak kira pelajar lelaki mahupun perempuan, mereka sama-sama berusaha memberi terbaik.
“Namun, kesedaran ibu bapa untuk bantu anak istimewa sangat mengecewakan kerana selepas tamat persekolahan, mereka tidak mempunyai peluang mengembangkan kemahiran dipelajari di sekolah.
“Satu kerugian kerana sekolah sediakan platform terbaik untuk golongan istimewa berdikari tetapi sikap sesetengah pihak mengecewakan,” katanya.
Sinar Harian: 29 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan