Rabu, 16 September 2009

Penempatan guru BI di bandar, pedalaman disusun semula

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim

TABURAN penempatan guru bahasa Inggeris akan disusun semula bagi mengimbangi keperluan di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Operasi Pendidikan, Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan jurang pencapaian dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar dan bandar dapat dikurangkan.

Pada masa saya, katanya, usaha itu secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kekurangan guru mata pelajaran berkenaan di luar bandar dalam tempoh singkat.

Beliau menjelaskan penyusunan semula itu sejajar dengan pelaksanaan dasar Memperkukuhkan Bahasa Inggeris itu turut membabitkan guru subjek lain antaranya bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

“Kita tidak mempunyai masalah dari segi bilangan guru bahasa Inggeris, ia mencukupi... masalahnya cuma dari segi taburan yang tidak menentu dengan negeri tertentu perlu lebih ramai guru subjek berkenaan.

“Contohnya, Pulau Pinang dikenal pasti mempunyai lebihan guru bahasa Inggeris berbanding Kedah dan Perlis yang kurang guru mata pelajaran itu tetapi ramai pengajar bahasa Melayu,” katanya.

“Justeru, tiga negeri ini akan dikelompokkan dan penyusunan semula guru dilakukan segera dengan menghantar guru lebihan ke negeri yang memerlukan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Bagi negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, Noor Rezan berkata, pola taburan gurunya tidak jauh berbeza dengan lebihan mengajar subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.

Katanya, keadaan itu juga menyukarkan proses pertukaran guru antara ketiga-tiga negeri, sekali gus memerlukan cadangan padanan perpindahan guru di negeri lain seperti Perak, Melaka dan Selangor.

“Setiap negeri khususnya sekolah perlu akur kepada Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan yang ditetapkan... jika sesebuah sekolah itu layak menerima 70 guru, ... berapa guru bahasa Melayu, bahasa Inggeris... mereka perlu ikut.

“Jika sekolah A lebih dua guru bahasa Inggeris, manakala sekolah B pula memerlukan seorang lagi guru subjek ini, jadi mesti dipindahkan guru di sekolah A itu ke sekolah B.

“Susunan ini perlu dilakukan, jika tidak kita gagal mengatasi keperluan itu selama-lamanya,” katanya.

Noor Rezan berkata, pengagihan guru khususnya mengajar subjek Bahasa Inggeris yang tidak seimbang di sekolah bandar dan luar bandar perlu ditangani secara bijak bagi memastikan pelajar mendapat tenaga pengajar berkelayakan.

Situasi ketika ini, katanya, menyaksikan kebanyakan guru mengajar bahasa Inggeris di luar bandar bukan pengkhususan bahasa itu berikutan keengganan guru opsyen subjek berkenaan mengajar di pedalaman.

“Selain itu, kita juga mengkaji mekanisme pengambilan guru bahasa Inggeris bersara untuk membantu mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar, selain guru pakar bahasa itu dari luar negara.

“Malah, ada cadangan untuk menawarkan perkhidmatan guru secara kontrak lebih awal, iaitu enam bulan sebelum guru bahasa Inggeris bersara bagi memastikan mereka terus memberi perkhidmatan,” katanya.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Tiada ulasan: