Rabu, 9 September 2009

Anugerah keunggulan SMKDP

BACHOK 8 Sept. – Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana (SMKDP) di sini belum mencecah usia satu dekad, justeru agak mengejutkan apabila pada Ogos lalu menerima anugerah paling berprestij bagi sesebuah sekolah di negara ini.

Pengetuanya, Saupi Majid melangkah ke tengah pentas Dewan Banquet UPM bagi membawa pulang Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) peringkat kebangsaan 2009 kategori sekolah menengah harian luar bandar.

ASC yang diperkenalkan pada tahun 2007 adalah bagi memberi pengiktirafan kepada sekolah yang mencapai taraf cemerlang (tahap 6) dan taraf gemilang (tahap 7) dengan skor 80 peratus mengikut indeks pengukuran Standard Kualiti Pelajaran Malaysia.

Apakah keistimewaannya sekolah dan warganya dan bagaimanakah SMKDP yang belum begitu dikenali umum di Kelantan ini berupaya memperoleh kejayaan demi kejayaan sehingga menggapai kemuncaknya -ASC?

Melihat suasana sekolah, keceriaan warganya, persekitarannya yang menghijau dan menarik, boleh dijadikan asas penilaian awal untuk menyelami rantaian kejayaan yang dicapai dari semasa ke semasa.

Saupi memberikan jawapan bahawa segala usaha bertolak atas premis bahawa anak-anak bangsa berpotensi untuk maju, setanding dengan sesiapa sahaja, biarpun di mana mereka berada jika diberi perhatian secukupnya.

‘‘Sejak awal penubuhan sekolah ini, saya meletakkan visi dan misi dengan jelas, lalu berusaha merealisasikan dari setahun ke setahun dengan peluang berkhidmat di sini agak panjang.

‘‘Visi sekolah ialah SMKDP akan menjadi sekolah berkesan, terunggul dan sekolah contoh dalam negeri selepas 2008 dan ternyata ia berhasil.

‘‘Apakah yang membanggakan seorang guru selain kejayaan buat pelajar dan sekolahnya di mana seluruh penat sudah terbayar,” ujarnya ketika ditemui.

Katanya, kekuatan utamanya adalah semangat, kerjasama dan muafakat seluruh warganya termasuk kakitangan sokongan, pentadbir, guru-guru dan murid-murid.

Semangat kekitaan yang masih menebal dalam kehidupan di kampung membolehkan masyarakat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru memberi sokongan padu.

Saufi menceritakan, SMKDP bermula sebagai sekolah harian biasa (dahulunya dikenali sebagai SMK Tangok) dan ia dinaik taraf kepada Sekolah Rancangan Khas (SRK) Pejabat Pelajaran Daerah Bachok mulai 2004 dan SRK Jabatan Pelajaran negeri 2008. Namun sehingga Mei lalu, ia masih lagi sekolah gred B.

‘‘Seiiring dengan perkembangan tersebut, syarat minimum kemasukan murid tingkatan satu ialah sekurang-kurang 4A 1B dalam UPSR dan 6A dalam PMR bagi masukan ke tingkatan empat,” ujar beliau.

Antara kejayaan SMKDP ialah menerima Anugerah Gemilang 2005 bagi kategori Lompatan Saujana PMR 2004, juara Pertandingan Memasak (puteri) Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Malaysia.

Juga Anugerah Kantin 5 Bintang 2007, Anugerah Peratusan Kelulusan Am 100 peratus bagi peperiksaan SPM dan STPM 2008, Anugerah Peratus Tertinggi PMR 2008, juarai pint ball peringkat negeri dan tempat keempat peringkat kebangsaan di samping juara Pidato Lembaga Hasil Dalam Negeri peringkat negeri 2009.

‘‘Bidang hal ewal murid juga diperhebatkan dengan pelbagai program ke arah memupuk insan yang seimbang dari segi pencapaian akademik, jasmani dan rohani.

‘‘Program Guru Masuk Kampung telah dilaksanakan sejak sekolah ini dibuka bagi mewujudkan hubungan erat pihak sekolah dengan masyarakat dan menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

‘‘Untuk mengeratkan hubungan guru dan pelajar pula, program Permata Hati diperkenalkan di samping Budaya Sambut Guru yang merupakan etos sekolah selain sekolah dalam taman,” ujarnya.

Pihak sekolah juga telah mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran kepimpinan mengikut konsep di universiti dengan menubuhkan badan pembantu tadbir, merangkumi pengawas, pembimbing rakan sebaya, pengawas perpustakaan, ketua tingkatan dan pegawas koperasi.

‘‘Badan pembantu tadbir ini menjadi penyelaras kepada semua kegiatan tahunan yang dianjurkan termasuk majlis makan malam dan perkhemahan tahunan agar mereka lebih berkeyakinan, berwibawa dalam mengendalikan urusan,” ujarnya.

Bersama dengan PIBG pula katanya, antara lain kelas malam diwujudkan setiap tahun mulai Febuari hingga September yang ternyata membantu pelajar memperkukuh dan memperluaska

Utusan Malaysia Online: 9 September 2009

Tiada ulasan: