Isnin, 7 September 2009

Calon UPSR disaring elak H1N1

GUA MUSANG – Penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini menyebabkan Jabatan Pelajaran lebih peka kepada kesihatan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dengan pelaksanaan saringan kepada calon yang bakal menduduki peperiksaan itu bagi memastikan pelajar dapat menduduki peperiksaan tanpa sebarang halangan.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Gua Musang, Mara Kasmedee Che Ab Rahman berkata, setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR akan discan menggunakan infraed termometer setiap kali sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Menurutnya, calon yang disyaki mempunyai gejala H1N1 akan diletakkan dalam bilik khas yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

“Setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR akan diberikan tiga keping topeng muka yang perlu dipakai setiap kali masuk ke dewan peperik-saan.

“Sebagai langkah pencegahan juga, calon UPSR dikehendaki membasuh tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman yang turut dibekalkan,” katanya kepada :Sinar Harian :selepas menyampaikan Taklimat Prosedur Pelaksanaan Peperiksaan UPSR dan Pematuhan H1N1 kepada semua guru besar daerah Gua Musang di Bilik Gerakan Pejabat Pelajaran Daerah, semalam.

Hadir sama, Mohd Zahari Che Man, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Pengurusan Kemanusiaan dan guru besar seluruh daerah.

Mara Kasmedee berkata, sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu menghantar laporan kepada PPD selepas peperiksaan berlangsung berdasarkan kepada borang khas yang telah diedarkan kepada pihak sekolah.

Menurutnya, pihak sekolah diminta hanya mematuhi arahan rasmi daripada pihak kementerian atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) berkenaan perkembangan semasa H1N1 dan kaitannya dengan UPSR.

“Pihak sekolah harus mengelakkan daripada bertindak berdasarkan berita dan khabar angin seperti khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Warta rasmi media massa seperti televisyen dan surat khabar perlu dipantau pada setiap masa,” katanya.

Katanya, alatan hendaklah didaftar sebagai harta modal (Infrared Termometer) dan sekolah diminta mematuhi arahan pelaksanaan bagi memastikan perjalanan UPSR lancar dan menepati hasrat pihak Kementerian Pelajaran dan JPN.

Demonstrasi dan prosedur pelaksanaan alatan ditunjukkan oleh Mohd Saari Che Man.

Sinar Harian: 7 September 2009

Tiada ulasan: