Selasa, 29 September 2009

SK Pengkalan budayakan pembacaan al-Quran

LAHAT – Program Ihya Ramadan dan khatam al-Quran yang dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, sebelum Syawal lalu berjaya membudayakan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran dalam kalangan murid-muridnya.

Guru Besar SK Pengkalan, Baharuddin Yaacob berkata, program berkenaan bertujuan menghidupkan Ramadan sebagai bulan ibadah, seterusnya mampu memartabatkan kitab suci al-Quran itu sendiri.

Menurutnya, program itu adalah wadah kepada pembudayaan al-Quran sebagai salah satu amalan dalam kalangan warga SK Pengkalan yang beragama Islam.

“Kita telah jalankan program ini sepanjang Ramadan yang lalu di mana kita lakukan pada waktu rehat Tahun Tiga, Empat dan Lima serta diadakan di Arena Nur Lestari SK Pengkalan, malah turut diadakan di surau sekolah.

“Kita telah jalankan tadarus al-Quran bagi murid-murid ini dan mana-mana murid yang lemah membaca al-Quran akan mengikuti Kem Bestari Solat. Kita juga turut mengadakan tazkirah Ramadan pada setiap Jumaat selama sepuluh minit selepas majlis bacaan Yasin,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sebelum itu, badan dakwah sekolah berkenaan turut menganjurkan solat Hajat dan bacaan Yasin untuk murid sekolah itu yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang lalu.

Baharudin berkata, program berkenaan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara murid sekolah itu, malah hubungan dengan warga pendidik juga semakin akrab.

“Kita mahu eratkan lagi hubungan antara murid itu sendiri dan juga dengan warga pendidik sekolah ini kerana hubungan yang baik akan melancarkan lagi proses pembelajaran.

“Kita yakin apabila adanya pelbagai aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada anak-anak, ia sekali gus mampu memastikan bahawa mereka itu tadi tidak ketinggalan dalam apa jua lapangan di sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah turut mengharapkan kerjasama yang padu daripada ibu bapa kerana penglibatan mereka dalam perkembangan anak pasti akan membawa kejayaan yang cemerlang.

“Pencapaian pendidikan anak-anak terletak di tangan ibu bapa dan guru. Sekiranya mereka bekerjasama, maka aspirasi sekolah dan keinginan ibu bapa untuk melihat anaknya mereka cemerlang dalam pendidikan akan tercapai.

“Jadi kita harapkan dalam majlis yang akan kita anjurkan selepas ini, semua ibu bapa akan memainkan peranan masing-masing dan dapat hadir bagi memeriahkan lagi majlis, seterusnya memberi sokongan kepada anak mereka,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Tiada ulasan: