RAMUAN CHINA BESAR – Salam kemaafan diterapkan di peringkat sekolah melibatkan murid-murid yang secara tidak langsung memberi cetusan keinsafan kepada mereka supaya melatih diri setiap kali berjumpa orang lebih tua untuk mengamalkan budaya bersalam.
Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), Ismail Mohamad berkata, program bawah kelolaan Panitia Islam dan Bahasa Arab, Guru j-Qaf dan Pusat Sumber Sekolah secara tidak langsung memberi pendedahan kepada semua murid supaya bersalam dengan iringan kata maaf kepada golongan dewasa.
Menurutnya, zaman sekarang yang berteraskan kemodenan, kecanggihan kadangkala membuatkan anak-anak leka dengan dunia sendiri sehinggakan rasa hormat mahupun budaya bersalam tidak dihiraukan mereka.
“Inilah caranya pendidikan di peringkat awal terutama di sekolah memberi tunjuk ajar dan kaedah terbaik memastikan setiap murid diisi dengan nilai-nilai murni.
“Seterusnya mengelakkan rasa kekok apabila berhadapan bersama orang dewasa,” katanya kepada Sinar Harian pada program itu.
Hadir sama, Ketua Unit Pencegahan Dadah JPM, Manan Umar; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar, Abd Ghani Hahsim; Sidang Kampung Ramuan China Besar, Shaari Harun dan Imam 2 Masjid Ramuan China Besar, Abd Rahim Jalal.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar, Pouziah Ghani berkata, pihak sekolah akan meneruskan rancangan dan aktiviti mengikut saranan kementerian mahupun JPM untuk meningkatkan kecemerlangan murid.
“Banyak perkara dan budaya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana jika bukan di peringkat sekolah memulakan, maka sudah pasti murid-murid dibuai kelekaan dengan dunia sendiri, sehinggakan tidak mengetahui cara menghormati orang tua.
“Kita sememangnya mengharapkan sokongan ibu bapa juga PIBG termasuk agensi atau NGO untuk menganjurkan seberapa banyak program di sekolah ini demi untuk murid-murid sekolah,” katanya.
Sinar Harian: 29 September 2009
Selasa, 29 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan