Sabtu, 12 September 2009

Pelajar miskin SMK Chengal terima zakat, KWAMP

KOTA BHARU 11 Sept. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal di sini semalam telah mengagihkan wang zakat dan kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sebanyak RM67,100 untuk 275 pelajar sekolah tersebut.

Daripada jumlah itu, sebanyak 97 orang menerima wang KWAPM berjumlah RM58,200 iaitu RM600 setiap orang manakala selebihnya menerima sumbangan zakat yang dikumpulkan oleh sekolah sebanyak RM8,900 dan masing-masing menerima RM50 seorang.

Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud semasa berucap pada majlis itu berkata, wang KWAMP diberikan bagi membolehkan pelajar terbabit membeli keperluan mereka terutama untuk menyambut Hari Raya.

"Kita berharap dengan wang ini, mereka dapat menyambut Hari Raya dan bergembira seperti orang lain di samping menggunakannya untuk pembelajaran," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengetua SMK Chengal, Sudin Harun dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohamad Jusoh.

Che Ab. Aziz turut memuji usaha sekolah dalam mendapatkan wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar miskin yang tidak mendapat wang KWAPM itu.

Usaha itu, katanya, menunjukkan terdapat kalangan ahli masyarakat yang bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan.

Utusan Malaysia Online: 12 September 2009

Tiada ulasan: