Khamis, 10 September 2009

PPD Rembau turun padang tinjau pelajar bermasalah



REMBAU - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rembau turun padang meninjau keadaan sebenar pelajar bermasalah dalam usaha memastikan pelajar di daerah ini tidak mengabaikan pelajaran akibat daripada kesulitan hidup dan masalah keluarga.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Azali Hashim berkata, program lawatan kebajikan ke rumah pelajar diadakan kerana pihak PPD Rembau sentiasa peka dengan masalah dihadapi pelajar dan cuba memberi bantuan melalui skim bantuan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Menurutnya, menerusi kunjungan itu diharap mampu memberi semangat kepada pelajar meneruskan persekolahan dan meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pendidikan anak.

“Jangan disebabkan masalah dihadapi anak hilang minat terhadap pelajaran kerana tanpa pelajaran akan menyukarkan kehidupan dan masa depan semakin malap,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Datin Naemah Ahmad Dahalan.

Azali berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan pelajar bermasalah kembali ke sekolah untuk meneruskan persekolahan seperti biasa dan mengambil peperiksaan.

“Kami tidak mahu mereka mengabaikan pelajaran. Ibu bapa perlu sedar anak harus menghabiskan persekolahan kerana mereka ini akan membantu keluarga keluar dari kepompong kemiskinan bersandarkan kelulusan yang ada,” katanya.

Azali berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membimbing anak untuk berjaya dalam hidup. Jadikan kesusahan dialami sebagai iktibar membuka minda anak untuk berusaha mendapat keputusan cemerlang sekali gus dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Dorongan dan sokongan padu ibu bapa akan merealisasikan usaha dijalankan pihak kami untuk membantu pelajar berfikiran positif dan meneruskan persekolahan,” katanya.

Sinar Harian: 10 September 2009

Tiada ulasan: