GERIK – Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II (SMKSIS II) mempunyai tradisi tersendiri dijalankan pada setiap tahun sepanjang Ramadan.
Tradisi yang mula dijalankan sekitar 1996 ini diteruskan sehingga kini dan menjadi satu acara wajib yang diadakan sebelum bermula cuti perayaan Aidilfitri.
Penolong Kanan SMKSIS II, Mohd Nordin Mahmud berkata, acara yang dimaksudkan adalah acara khatam al-Quran beramai-ramai melibatkan semua pelajar yang menginap di asrama sekolah tersebut.
Menurutnya, ia adalah kesinambungan daripada tadarus al-Quran yang menjadi acara wajib bagi pelajar yang menetap di asrama sekolah itu sebagai pengisian aktiviti sepanjang Ramadan.
“Acara sebegini sememangnya ditetapkan untuk diadakan pada malam akhir persekolahan sebelum pelajar dilepaskan pulang untuk bercuti.
“Ia adalah acara tetap di asrama ini dan satu tradisi asrama yang ingin dikekalkan di masa akan datang,” katanya.
Selain itu, menurutnya majlis khatam tersebut membuka peluang kepada pihak sekolah dan pihak pengurusan asrama untuk memberikan zakat kepada pelajar yang diperoleh hasil sumbangan individu serta korporat.
Mohd Nordin berkata, program titu adalah program yang dijalankan di bawah program ibadat dan program kerohanian serta satu cara bagi pihak asrama menerapkan kemurnian ajaran Islam kepada pelajar asrama SMKSIS II.
“Selain mementingkan kejayaan akademik pelajar ini, pihak pengurusan asrama juga mempunyai matlamat membentuk pelajar yang menetap di asrama ini sebagai individu Muslim sejati.
“Kami percaya kejayaan dalam bidang akademik perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah Muslim sejati bagi membolehkan pelajar ini dibentuk menjadi seorang individu yang benar-benar berkualiti,” katanya.
Menurutnya, program ini adalah satu acara yang sering menjadi penantian pelajar asrama dan sering kali mendapat sambutan baik daripada mereka.
“Sambutan daripada pelajar menggalakkan dan mereka nyata sekali memberikan kerjasama yang bagus demi menjayakan program ini.
“Kerjasama yang diberikan biro asrama juga adalah amat baik di mana mereka bekerja keras dan bertungkus lumus bagi memastikan program ini berjaya dan tradisi ini dapat dikekalkan terus di asrama SMKSIS II,” katanya.
Sinar Harian: 28 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan