Khamis, 10 September 2009

Doa, tawakal iringi anak hadapi UPSR



KUALA NERANG - Menjadi tradisi ibu bapa di Sekolah Kebangsaan (SK) Panglima Awang di sini untuk mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat di surau sekolah ketika anak-anak mereka sedang berjuang di dewan peperiksaan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rata-rata mereka mahu mendoakan kejayaan anak masing-masing untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan membawa perubahan dalam keluarga masing-masing.

Bagi Nor Azlina Ayob, 37, beliau mahu doa dan usaha daripada ibu bapa membawa kejayaan kepada anak di mana kedua-duanya perlu untuk ketahanan mental, fizikal dan spirituil anak-anak.

Menurutnya, beliau sangat mengharap anak sulungnya, Muhd Hassan Bakri Basri, 12, mampu menjawab semua kertas peperiksaan dengan tenang.

“Kadang kala, debaran ibu bapa ini lagi kencang berbanding dengan anak-anak dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk anak saya, dan dia juga dapat lakukan yang terbaik kepada diri saya ini.

“Saya berdoa siang malam untuk kejayaan anak saya dalam pelajaran, selain ulang kaji pelajaran, saya sentiasa ingatkan dia supaya dekat dengan Allah untuk permudahkan segala kesulitan ketika periksa nanti,” katanya.

Sementara itu, bagi Guru Penolong Kanan 1 SK Panglima Awang, Sepora Baharom, beliau terharu dengan komitmen yang di tunjukkan oleh ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak mereka.

“Saya sebagai guru di sini berbangga dan terharu dengan inisiatif ibu bapa ini yang datang memberikan semangat untuk anak mereka dengan mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat bersama-sama.

“Selama hampir enam tahun belajar di sekolah ini, saya harapkan banyak ilmu yang telah diperoleh oleh murid-murid Tahun Enam ini dalam peperiksaan UPSR nanti.

“Kini apa yang tinggal cuma doa dan tawakal sahaja kerana semua pihak telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kecemerlangan murid-murid ini dalam peperiksaan UPSR,” katanya.

Selain itu, hubungan pihak sekolah dan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sinar Harian: 10 September 2009

Tiada ulasan: