Sabtu, 12 September 2009

Debat ala Parlimen dapat sambutan





MARANG – Pasukan debat bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail 2, Kemaman dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat ala Parlimen Bahasa Inggeris.

Hasil kejayaan itu, mereka yakin kecemerlangan sama dapat dicapai pada peringkat kebangsaan pula.

Mereka juga yakin dengan reputasi dimiliki dan masih ada peluang untuk menyerlah pada peringkat kebangsaan walaupun gagal saingan suku akhir tahun lalu.

Guru pembimbing, Rosma’inah Osman berkata, keyakinan itu disandarkan kepada barisan pelapis yang masih muda dan mempunyai potensi untuk diketengahkan pada masa depan.

“Peserta kami adalah pelajar Tingkatan Dua dan Tiga, sekali gus memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman bagi mencapai kemuncak kejayaan tahun depan,” katanya.

Barisan pendebat SMK Sultan Ismail 2 adalah Sheralia Abdullah, 15; Sharvina Ghandibal, 15; Sharyn Wong, 14, dan dibantu Nurul Syifaa, 16, dan Shuy Jia Xiang, 17. Mereka mengatasi cabaran SMK Sultan Mahmud pada peringkat akhir.

Sheralia Abdullah yang baru pertama kali menyertai pasukan itu berharap, kegagalan tahun lalu menjadi pengajaran berguna untuk mereka menempa lebih banyak kejayaan.

”Kami sentiasa menjalani latihan secara berpasukan dan mengadakan perbinca-ngan mengenai isu semasa bagi meningkatkan pengetahuan am,” katanya.

Pelajar Tingkatan Tiga itu juga yakin pasukan mereka akan mencapai kejayaan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi dan persiapan ke arah itu dirancang mulai sekarang.

Pertandingan peringkat akhir negeri Terengganu yang diadakan di Dewan SMK Wakaf Tapai itu turut disertai sekolah terbaik iaitu johan daerah masing-masing.

Sinar Harian: 13 September 2009

Tiada ulasan: