Rabu, 9 September 2009

Calon UPSR tak wajib pakai penutup mulut

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


MUHYIDDIN bertanyakan sesuatu kepada calon UPSR ketika melawat Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara sebelum ujian dimulakan semalam.

Ibu bapa, sekolah perlu bijak bendung H1N1: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang mewajibkan pelajar memakai penutup mulut dan hidung atau membuat ujian mengesan suhu bagi membendung penularan H1N1 terutama ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekarang.

Beliau berkata, kerajaan menyerahkan kepada kebijaksanaan ibu bapa dan sekolah menyediakan langkah sewajarnya bagi membendung penularan wabak itu di kalangan anak dan pelajar.

"Kerajaan sudah mengeluarkan garis panduan, maka terpulang kepada budi bicara ibu bapa serta sekolah mencegahnya kerana mereka lebih tahu apa yang perlu dilakukan.

"Soal pokok adalah menjaga kebersihan diri setiap masa serta memastikan pemakaian penutup mulut dan hidung apabila batuk atau selesema supaya tidak menjangkiti orang lain.

"Jika kita rasa tidak memakai penutup selamat, terserah kepada kita. Soal mewajibkan saya fikir tidak perlu" katanya pada sidang media selepas meluangkan masa melawat pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD) menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), di sini semalam.

Muhyiddin berkata, sepanjang tempoh UPSR, kementerian membekalkan semua sekolah alat pengesan suhu dan memberikan tiga helai penutup mulut serta hidung termasuk cecair penyah kuman untuk kegunaan pelajar dan pegawai peperiksaan setiap hari.

Katanya, kementerian turut membuka bilik gerakan 24 jam di pejabat Lembaga Peperiksaan Malaysia mulai 1 hingga 11 September, manakala bilik gerakan peringkat negeri di Jabatan Pelajaran Negeri dibuka serentak di peringkat pusat.

Pada masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa tidak memberi tekanan yang tinggi kepada anak yang menduduki peperiksaan hanya kerana mahu melihat mereka lulus cemerlang.

"Saya percaya ibu bapa faham dan tahu bagaimana memastikan anak tidak terganggu. Beri nasihat, membaca doa dan selawat supaya mereka tenang fikiran menjawab soalan.

"Saya yakin pelajar yang kali pertama menduduki UPSR dapat menghadapinya dengan tenang dan mudah-mudahan mencapai keputusan cemerlang," katanya.

Berita Harian Online: 9 September 2009

Tiada ulasan: