Khamis, 10 September 2009

Garisan kuning tidak berkesan: PIBG



TASEK – Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek memohon jasa baik pihak terbabit agar mencari kaedah lebih jitu dalam usaha mengurangkan kelajuan kenderaan yang lalu lalang di hadapan sekolah itu.

Yang Dipertua PIBG, Fadil Arifin berkata, walaupun pihak berwajib sudah membina garisan kuning bagi mengingatkan pengguna jalan raya, namun kenderaan tetap dipandu dengan laju.

Menurutnya, berkemungkinan garisan kuning yang diletakkan di jalan raya itu terlalu nipis dan kurang memberi impak berkesan kepada pemandu kenderaan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan namun, apa yang lebih mengecewakan ia tidak berdaya ‘memujuk’ pengguna untuk tidak memandu laju di kawasan tersebut.

:“Saya melihat, berkemungkinan garisan kuning terbabit tidak cukup tebal sehingga menyebabkan pengguna tidak menghiraukan kewujudannya dan tetap memandu laju apabila menuruni jambatan berhampiran,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian bertarikh 26 April lalu menyiarkan keluhan PIBG sekolah itu yang mahukan garisan kuning bagi memastikan kenderaan tidak dipandu dengan laju terutamanya di hadapan sekolah berkenaan.

Namun setelah garisan kuning dipasang, Fadil mendakwa garisan kuning yang dipasang terlalu nipis sehingga tidak memberi apa-apa kesan kepada pengguna jalan raya.

Dia memohon jasa baik pihak berkenaan supaya melihat semula keperluan adakah perlu ditambah sedikit ketebalan garisan kuning terbabit.

“Pihak berkenaan boleh melihat sendiri keadaan di hadapan sekolah ini ketika semua murid berpusu-pusu keluar dari sekolah dan sudah tentu membahayakan nyawa mereka.

“Jadi atas dasar itu, saya selaku wakil daripada ibu bapa dan pihak sekolah merayu kepada pihak berkenaan supaya satu kajian sesuai perlu dilakukan dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

:Menurutnya, keprihatinan pihak berkenaan dalam usaha menyelesaikan masalah yang dibangkitkan amat dihargai dan bagi pihak PIBG amat bimbangkan keselamatan murid serta ibu bapa di sekolah ini.

“Kita tidak mahu suatu hari nanti, akan berlaku kejadian tidak diingini dan kita mohon agar perkara itu tidak terjadi malah ia perlu dihindarkan dengan kadar segera.

“Memang kami sendiri melihat keadaannya dan kami lihat kenderaan yang turun dari jambatan amat laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Sinar Harian: 10 September 2009

Tiada ulasan: