KOTA BHARU 23 Sept. - Seramai 1,268 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 akan menyertai Majlis Kesyukuran Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah tersebut pada 29 September ini, mulai pukul 12 tengah hari.
Pengetuanya, Wan Jah Wan Yaacob berkata, majlis yang melibatkan pelajar, guru, kakitangan sokongan serta pekerja kontrak itu diadakan berkonsepkan 'mesra pendidik' apabila semua mereka akan menyumbang barangan untuk jamuan pada hari itu.
Katanya, ia termasuk pelajar tingkatan satu membawa gula sebanyak satu cawan, tingkatan dua pula buah-buahan seorang sekilogram, tingkatan tiga, empat dan lima pula membawa secawan beras manakala pelajar tingkatan enam membawa santan.
''Setiap guru diminta membawa dua kilogram daging, pengusaha kantin sekolah dan asrama pula masing-masing 50 ekor ayam," katanya selepas Majlis Penyampaian Zakat di sini hari ini.
Menurutnya, hidangan untuk jamuan itu akan diadakan secara gotong-royong bagi melambangkan kerja berpasukan yang diamalkan di sekolah itu.
Pada majlis itu katanya, orang ramai termasuk ibu bapa, warga Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Pejabat Pelajaran Daerah serta masyarakat setempat juga dijemput hadir.
Utusan Malaysia Online: 24 September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan