Jangan hampakan harapan ibu bapa
REMBAU - Seramai 37 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Batu menyertai Program Motivasi Tahun Enam anjuran SK Kampung Batu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu.
Guru besarnya, Mohammad Anuar Idris berkata, kehadiran dua penceramah jemputan terdiri daripada ibu bapa yang memiliki anak cemerlang dalam pelajaran diharap mampu memberi semangat baru kepada murid untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Menurutnya, segala nasihat dan panduan diberikan diharap diguna sebaik mungkin untuk menghadapi peperiksaan pada 8, 9 dan 10 September ini.
“Ini adalah peperiksaan besar untuk murid melangkah masuk tingkatan satu pada tahun depan.
“Jika keputusan cemerlang, murid dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, tetapi jika sebaliknya, murid masih berpeluang ke sekolah harian biasa dan meningkatkan usaha untuk berjaya dalam peperiksaan seterusnya,” katanya.
Mohammad Anuar turut menasihatkan murid supaya tidak menghampakan harapan ibu bapa yang selama ini mengharapkan kecemerlangan anak dalam pendidikan. Sebagai anak yang taat, sudah tentu kita tidak mahu memusnahkan impian mereka.
“Berikutan itu, belajar bersungguh-sungguh seterusnya capai keputusan cemerlang. Menerusi kejayaan itu, secara tidak langsung ibu bapa akan merasa bangga. Kita juga akan rasa gembira kerana mampu membahagiakan mereka,” katanya.
Menurutnya, jika murid gagal secara tidak langsung guru dan pihak sekolah gagal memastikan kecemerlangan dan kejayaan murid.
“Namun segalanya terpulang kepada murid itu sendiri. Jika orang lain boleh berjaya tidak mustahil kita tidak mampu meraih kejayaan sama,” katanya.
Ahad, 6 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan