Rabu, 9 September 2009

60 murid positif dadah



TUMPAT - Kira-kira 60 murid sekolah rendah di Kelantan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah hasil ujian air kencing secara proaktif yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui Program Intervensi Pelajar.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Mohd Ghazali Abd Rahman berkata, pihaknya masih lagi dalam pengumpulan maklumat lengkap untuk mengesan murid yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah tersebut.

Menurutnya, Pegawai Pencegahan Dadah JPN akan mengenal pasti murid di sekolah mana yang terlibat dan akan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan murid dan pelajar dapat dibendung.

“JPN akan kenal pasti dulu dengan mengumpul maklumat selengkapnya oleh pegawai dari Unit Dadah, JPN. Langkah pencegahan awal diambil untuk membantu mereka yang dikatakan terlibat dengan dadah,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Sri Wakaf Bharu dalam majlis taklimat kepada calon yang menduduki peperiksaan UPSR.

Semalam dilaporkan, seramai 306 murid di beberapa buah sekolah rendah di negara ini dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah tahun ini.

Ketua Pengarah AADK Malaysia, Datuk Abdul Bakir Zin dilaporkan berkata, tahun ini AADK mengesan seramai 306 murid sekolah rendah di negara ini terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan daripada jumlah tersebut, seramai 60 murid adalah di Kelantan.

Beliau berkata murid-murid berkenaan dikesan positif dadah hasil ujian air kencing secara pro aktif yang dijalankan Unit Pencegahan AADK.

Beliau berkata melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, AADK turut menjalankan program susulan bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan murid dan pelajar dapat dibendung.

Sinar Harian: 9 September 2009

Tiada ulasan: