Calon UPSR jangan main mercun: JPN
KOTA BHARU - Calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga pelajar di negeri ini dinasihatkan supaya tidak bermain mercun.
Pengarah Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, pelajar terutamanya mereka yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini diingatkan tidak berjinak-jinak dengan mercun.
Menurutnya, bermain mercun bukan sahaja membahayakan keselamatan diri tetapi juga ia tidak digalakkan dalam Islam kerana boleh mengancam keselamatan orang lain.
“Saya nasihatkan jangan ada dalam kalangan pelajar kita terutama yang akan menduduki peperik-saan dalam tempoh terdekat ini tidak membakar mercun.
“Bermain memanglah seronok tetapi malang tidak berbau. Sekiranya ada mercun meletup tiba-tiba bukankah ini akan membahayakan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Mohd Ghazali berkata, setakat ini tidak ada calon peperiksaan yang dilaporkan menjadi mangsa mercun dan berharap peperiksaan dapat berjalan dengan lancar.
Mohd Ghazali berkata, kecederaan yang serius akan mengganggu calon-calon peperiksaan untuk memberi tumpuan kepada kertas peperiksaan masing-masing.
“Walaupun sakit dan mengalami kecederaan mereka perlu menduduki peperiksaan juga walaupun berada di hospital.
“Keadaan ini tidak selesa bagi pelajar dan saya berharap jangan ada pelajar yang memberanikan diri mengubah suai mercun dan sebagainya,” katanya.
Esok kira-kira 37,415 calon akan menduduki UPSR di 431 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Sinar Harian: 7 September 2009
Isnin, 7 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan