Rabu, 9 September 2009

Sayangi Sekolah: Jadikan teladan

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
upen@bharian.com.my


SEBAHAGIAN ibu bapa mengikuti kelas dewasa.

SK Tun Abdul Razak usaha gigih ubah tahap pendidikan Orang Asli

DALAM usaha memujuk anak Orang Asli hadir ke sekolah, guru Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak (SKTAR), Hulu Selangor, sanggup meredah perkampungan kaum minoriti itu untuk mencari murid masing-masing.

Usaha mereka tidak terhenti setakat itu kerana pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan, antaranya membawa murid menonton filem Inggeris di pawagam bagi menyuntik minat mereka terhadap bahasa antarabangsa itu.

Guru Besar SKTAR, Azizah Hassan, berkata usaha itu sebahagian program Jejak Kasih diperkenalkan sekolah berkenaan sejak 2005 bertujuan mendekatkan guru dengan murid yang kebanyakannya masih tidak minat belajar.

Beliau berkata, pendekatan memujuk murid Orang Asli supaya rajin datang sekolah dan cintakan pelajaran itu berkesan kerana ia membawa perubahan secara beransur-ansur.

Sambil menjelaskan pelaksanaan program itu juga berjaya mengurangkan kadar ponteng sekolah, katanya, usaha diteruskan bagi mencapai tahap sifar, sekali gus mengatasi masalah murid Orang Asli tercicir dalam pelajaran.

GURU turut mengajar di luar bilik darjah bagi memupuk minat belajar di kalangan murid SKTAR.

“Sebahagian murid sekolah ini tinggal di asrama. Mereka dari 10 kampung Orang Asli berhampiran iaitu Kampung Tun Abdul Razak, Kerling, Gerachi Jaya, Pertak, Buloh Telur, Kolam Air, Hulu Tamu, Sungai Jang, Kampung Songkok dan Gurney Hulu Yam.

“Kami mengadakan pelbagai aktiviti dan program menarik bagi membuka minda murid menerima arus perubahan termasuk Komuterthon ke Kuala Lumpur, jamuan di restoran Kentucky Fried Chicken dan lawatan ke Wet World, Shah Alam serta Zoo Negara.

“Pendedahan menerusi program seumpama ini diharap dapat mengubah mentaliti mereka supaya berasa lebih terdorong untuk memajukan diri dan keluarga menerusi pendidikan sempurna di sekolah,” katanya.

Azizah berkata keberkesanan program itu dapat dilihat apabila semakin ramai murid sekolah berkenaan menonjolkan potensi diri dalam bidang akademik dan kokurikulum.


Antara kejayaan diperoleh, katanya, muncul naib johan Kejohanan Bola Baling Karninal Sukan Orang Asli Selangor dan tempat ketiga Kejohanan Sepak Takraw Karnival Sukan Sekolah Orang Asli Selangor, tahun lalu.

Turut membanggakan, katanya, apabila sekolah itu mencapai keputusan 100 peratus bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Melayu Pemahaman dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

“Pencapaian terbaik murid SKTAR dalam UPSR setakat ini ialah 3A 2B pada 2005 dan kita berharap sekurang-kurangnya seorang dapat 5A tahun ini.

“Bagi mencapai sasaran ini, guru gigih melaksanakan pelbagai usaha termasuk kelas tambahan, Majlis Serah Ilmu, solat hajat, perjumpaan ibu bapa serta kem kecemerlangan UPSR,” katanya.

Menyedari kekuatan pengaruh ibu bapa menyuntik semangat belajar anak, Azizah berkata, sekolah turut membuka kelas dewasa khas untuk ibu bapa dan penjaga yang ‘buta huruf’ mengubah tahap pendidikan mereka.

“Kelas dewasa setiap Isnin, Selasa dan Jumaat diadakan supaya mereka turut merasai kepentingan memiliki ilmu pengetahuan dan seterusnya menggalakkan anak bersekolah,” katanya.

Usaha agresif dan menyeluruh SKTAR dalam membangunkan pendidikan Orang Asli mendapat pengiktirafan Kementerian Pelajaran apabila dianugerahkan Sekolah Cemerlang kategori Sekolah Rendah Orang Asli 2009, baru-baru ini.

Berita Harian Onnline: 9 September 2009

Tiada ulasan: