JOHOR BAHRU 24 Sept. - Bagi 78 murid cacat penglihatan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di sini, guru besar, Nafisah Ismail, 51, adalah 'mama' yang membesar dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang.
Pemerhatian Utusan Malaysia di sekolah itu di Jalan Nong Chik mendapati, berbanding gelaran guru besar, murid-murid di situ lebih selesa memanggil Nafisah sebagai 'mama'.
Buat Nafisah, panggilan itu amat menyenangkan, namun dalam masa sama beliau menyedari tanggungjawab besar dipikulnya lantaran harapan tinggi murid-murid yang menganggap beliau seperti ibu mereka sendiri.
Katanya, tugas membesar dan mendidik kanak-kanak istimewa adalah sangat mencabar justeru ia perlu dilakukan dengan kesungguhan, minat, keikhlasan, komitmen, kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi.
Tambahnya, disebabkan kekurangan yang dialami, murid-murid istimewa itu lazimnya bersifat sensitif justeru kesilapan yang dilakukan perlu ditegur dengan penuh hikmah supaya tidak menyinggung perasaan mereka.
"Namun ini tidak bermakna mereka perlu dimanjakan secara berlebihan. Jika salah mereka tetap perlu ditegur.
"Mereka perlu belajar daripada kesilapan supaya suatu hari nanti mereka dapat hidup tanpa terlalu banyak bergantung kepada orang lain," katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini baru-baru ini.
Mengenai sekolah tersebut, Nafisah memberitahu, ia dibuka sejak 1953 dan kini menempatkan 78 murid berusia antara enam hingga 12 tahun yang menghadapi masalah penglihatan.
Sekolah di bawah kelolaan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) itu turut menyediakan kemudahan asrama memandangkan murid-murid di situ datang dari seluruh Semenanjung.
Nafisah berkata, seperti kanak-kanak biasa yang lain, murid-murid istimewa juga mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, suka bermain, bergurau dan ada juga yang nakal.
Katanya, faktor keluarga juga banyak mempengaruhi perwatakan kanak-kanak istimewa dengan mereka yang mendapat kasih sayang lazimnya lebih berkeyakinan dan kurang masalah disiplin.
"Bagaimanapun ada juga ibu bapa yang menganggap anak istimewa ini sebagai beban dan ini menyebabkan mereka kurang keyakinan diri malah ada juga yang memberontak dengan mempamerkan tingkah laku bermasalah.
"Namun di sini, kita layan sama rata, semuanya satu keluarga, suka duka dikongsi bersama," katanya.
Sementara itu, menurut Nafisah, antara kisah yang menyentuh hatinya apabila seorang kanak-kanak dikenali sebagai Wan menelefon beliau untuk memaklumkan dia akan memasuki SKPK Princess Elizabeth pada tahun depan.
"Wan yang berusia enam tahun itu mempunyai seorang kakak berumur 12 tahun yang cacat penglihatan dan belajar di sekolah ini.
"Wan memberitahu, dia kini hampir buta akibat kanser dan menyatakan mahu memasuki sekolah ini tahun depan, namun dia tidak bimbang meninggalkan rumah kerana menurut kakaknya semua orang di sekolah, baik-baik belaka," katanya.
Tambah menyentuh perasaan, katanya, beliau juga pernah bertemu dengan Wan yang manja dan petah berkata-kata tidak lama dahulu ketika kanak-kanak itu datang melawat kakaknya di sekolah.
Utusan Malaysia Online: 25 Spetember 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan