Hormati guru syarat cemerlang
KUALA TERENGGANU – Budaya menghormati guru adalah sebahagian daripada syarat yang perlu dimiliki murid bagi mendapatkan keberkatan menuntut ilmu.
Penceramah bebas, Mohamad Mizan Mohd Nor berkata, hakikat itu bagaimanapun jarang diberikan perhatian berikutan kecenderungan sistem pendidikan pada masa kini yang lebih berorientasikan peperiksaan.
“Kejayaan murid pada masa kini hanya diukur semata-mata berdasarkan jumlah skor ‘A’ yang berjaya dipungut dalam peperiksaan sehingga mengetepikan aspek keberkatan menuntut ilmu itu sendiri.
“Walhal, mendapatkan keberkatan itu harus menjadi matlamat utama bagi merealisasikan hasrat negara melahirkan generasi masa depan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (Jeri),” katanya.
Mohamad Mizan berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Kem Jati Diri Pelajar Terbilang yang berlangsung di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam.
Seramai 247 murid Tahun Empat dan Lima sekolah berkenaan mengikuti kem sehari yang dianjurkan bersama Unit Kokurikulum serta Unit Bimbingan dan Kaunseling itu.
Turut hadir, Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Zainab Yusof; GPK 2, Tengku Badariah Tengku Husin; GPK Kokurikulum, Wan Abdul Salam Wan Abdul Ghani dan Setiausaha Jawatankuasa Bimbingan dan Kaunseling, Azmi Awang.
Mengulas lanjut, Mohamad Mizan yang juga Pe ngurus TQHM Consultant berkata, budaya menghormati guru bukan sahaja merangkumi keperluan murid mengekalkan hubungan baik dengan guru di luar bilik darjah tetapi juga ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
“Sebagai contoh, ketika berlangsungnya sesi pembelajaran, semua murid perlu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru bukannya sentiasa bermain dan membuat bising dalam kelas.
“Apabila wujudnya situasi itu, guru akan berasa senang hati dan meredai ilmu yang dicurahkan, sekali gus membolehkan murid lebih diberkati,” katanya.
Sinar Harian: 7 September 2009
Isnin, 7 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan