Rabu, 9 September 2009

Hari Informasi Kerjaya beri maklumat berguna



PUCHONG – Tidak ramai pelajar mengetahui pelbagai bidang kerjaya terutama kerjaya pilihan, mendorong Majlis Guru Kaunseling Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana dan Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana menganjurkan Hari Informasi Kerjaya (HIK) Daerah Petaling Perdana.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Irwan Tan Abdullah berkata, program itu membuktikan perpaduan dan keinginan semua pihak untuk menyatukan generasi masa depan yang berinovasi dan berdaya maju dalam meneroka peluang kerjaya lebih mencabar.

“Kerjasama pelbagai pihak telah membuktikan komitmen mereka terhadap kesepaduan yang menjadi asas kepada keberhasilan agenda negara bagi melahirkan pelajar yang kompeten.

“Program ini diharapkan mampu melahirkan generasi yang berani, kreatif dan inovatif serta mampu menghadapi cabaran dalam transformasi pendidikan kini,” katanya pada perasmian program berkenaan di Dewan Serbaguna Puchong Indah.

Pengerusi Program Nazmah Kuthar Bhaks pula berkata, program itu diadakan setiap tahun sebagai usaha untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian di negara ini.

Menurutnya, program itu diadakan khusus kepada pelajar Tingkatan Empat, Lima dan Enam untuk mendapatkan maklumat kerjaya sebagai persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya.

“Antara maklumat yang perlu mereka ketahui seperti maklumat berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan di institut pengajian tinggi awam mahupun swasta yang terdapat di negara ini.

“Maklumat-maklumat mengenai kursus ini penting untuk persediaan yang melayakkan mereka untuk memohon jawatan dalam bidang kerjaya yang mereka pilih,” katanya.

Program bertemakan ‘Terokai Masa Depan Anda’ itu secara tidak langsung membuka peluang pelajar menerokai peluang kerjaya yang terdapat di negara ini dan melahirkan pelajar berinformasi dan berdaya saing.

Nazmah berkata, objektif program berkenaan selain membuka peluang pembelajaran, ia juga dapat membantu pelajar mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan pembelajaran yang ditawarkan pihak kewangan itu dan juga mengeratkan ikatan permuafakatan antara sekolah-sekolah yang hadir.

Antara insitusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terlibat menjayakan program adalah Managment Science University (MSU), Berjaya University College of Hospitality, Kolej Poly-Tech Mara dan Taylor’s University College.

Sinar Harian: 9 September 2009

Tiada ulasan: