Sabtu, 12 September 2009

35,000 murid tak tahu baca, menulis

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

Kerajaan sasar 85 peratus ikuti prasekolah pada 2012

PARIT RAJA: Kementerian Pelajaran mengenal pasti kira-kira 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus sekarang.

"Kementerian Pelajaran sedang berusaha mencapai sasaran 85 peratus itu dulu dan apabila ia menjadi kenyataan, kita akan meletakkan sasaran baru iaitu memastikan setiap kanak-kanak tidak kira di mana di seluruh negara, mendapat pendidikan prasekolah.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak lain khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pameran Patriotisme dan Kenegaraan 1 Malaysia anjuran Fakulti Sains, Sastera dan Warisan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, petang kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua buku terbitan UTHM bertajuk Darjat Tidak Datang Bergolek: Langit Mana Patut Dijunjung' dan Modul Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia.

Mohd Puad berkata, pihak kementerian kini sedang mengkaji pendekatan sesuai untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapat pendidikan prasekolah.

Katanya, walaupun kerajaan belum menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak seawal usia lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, langkah awal harus diambil untuk memastikan masyarakat pedalaman juga mendapat pendidikan yang sempurna.

Berita Harian Online: 12 September 2009


Tiada ulasan: