Sabtu, 12 September 2009

Suasana pilu akhiri majlis perpisahan guru





TELUK INTAN - Suasana pilu dan sedih menyelubungi Sambutan Hari Persaraan Cikgu Norul Aini Abdul Hamid yang telah berkhidmat selama 30 tahun di Sekolah Kebangsaan Sungai Kerawai (SKSK) sebaik sahaja guru itu melangkah masuk ke dalam kenderaannya untuk pulang.

Guru Besar SKSK, Noora Bustanuddin berkata, beliau begitu berbangga mempunyai staf dan guru yang berdedikasi seperti Cikgu Norul yang telah berkhidmat sejak tahun 1979 sehingga bersara.

Menurutnya, kerana terlalu menyayangi sekolah dan murid-murid, beliau tidak mahu mengisi borang kenaikan pangkat kerana tidak mahu ditukarkan ke mana-mana walaupun mempunyai peluang dan potensi yang besar.

“Sepanjang tujuh tahun perkenalan saya dengan beliau, banyak pengalaman dan idea yang dicurahkan kepada sekolah mahupun murid-murid sehingga sekolah mencapai kejayaan.

“Kesabaran beliau mendidik murid terutama murid tahun satu begitu disanjung tinggi kerana kesanggupan beliau itu telah menjadikan murid-murid ini daripada tidak tahu membaca menjadi mahir membaca.” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Persaraan Cikgu Norul Aini Abdul Hamid di Dewan SKSK, di sini, semalam.

Menurutnya, memiliki sifat keibuan yang tinggi menjadikan Cikgu Norul begitu rapat dan mesra dengan murid-murid serta disenangi guru-guru dan kakitangan sekolah.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mendapat banyak komen yang positif daripada pihak luar yang melihat kaedah pengajaran dan pembelajaran (PnP) Cikgu Norul yang mengitu menarik.

Noora berkata, Cikgu Norul akan menggunakan persekitaran yang ada di sekelilingnya sebagai bahan PnP dan membuatkan murid-murid lebih memberikan tumpuan.

Menurutnya, setelah meninggal sekolah, beliau mengharapkan hubungan yang selama ini akan terus terjalin dan sekiranya khidmatnya masih diperlukan, beliau berharap Cikgu Norul sudi memberikan kerjasama.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Guru dan Staf SKSKS, Kamal Kumar Tohid semasa menyampaikan ucapan berkata, Cikgu Norul merupakan seorang guru yang berdedikasi dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, persaraan Cikgu Norul merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi SKSK yang selama ini membangun adalah hasil usaha bersama dengan beliau.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSK, Nor Azryna Jainuri berkata, beliau begitu berbangga mempunyai seorang guru yang begitu baik dan sangat berdedikasi.

Menurutnya, bukan sahaja pernah mengajarnya sebelum ini, malah anak-anaknya juga turut mendapat sentuhan Cikgu Norul yang pernah dinikmatinya sebelum ini.

Beliau berkata, kesabaran beliau mendidik murid-muridnya telah membuahkan hasil apabila ramai anak didiknya berjaya dalam kehidupan yang dilalui.

Katanya, Cikgu Norul merupakan contoh pendidik yang unggul kerana selama ini bersungguh-sungguh memastikan anak didiknya berjaya.

Sinar Harian: 13 September 2009

Tiada ulasan: