E-Book mudah proses belajar
KUALA TERENGGANU – Pemberian e-Book kepada murid Tahun Lima yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan dilihat dapat membantu meningkatkan pencapaian pelajaran mereka.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, Mahani Jaafar berkata, murid dapat belajar dengan baik dan fungsinya sama seperti buku teks.
Murid juga sudah dua bulan menggunakan kemudahan itu.
Menurut Mahani, sebelum ini murid dan ibu bapa sering merungut kerana terpaksa membawa buku teks berat ke sekolah.
Masalah itu juga dijadikan alasan tidak membawa buku.
Kini dengan kemudahan e-Book, semua alasan itu tidak boleh digunakan lagi.
“Setakat ini, murid yang menggunakan e-Book berpuas hati kerana dapat belajar dengan selesa, selain itu keyakinan mereka turut meningkat berbanding sebelumnya.
“Murid akan dipantau guru dan dibantu petugas teknikal ketika menggunakan e-Book dalam kelas,” katanya.
Seramai 93 murid di SK Kompleks Seberang Takir menerima e-Book awal Julai lalu.
Menurut Mahani, jika ada masalah, petugas teknikal membantu dan sekiranya ada kerosakan e-Book dihantar terus ke kilang untuk proses baik pulih.
“Pemantauan di sekolah dilaksanakan guru tetapi ketika di rumah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan memberi kerjasama.
“Namun ibu bapa tetap perlu memantau kerana kemudahan ini untuk mereka belajar, bukan untuk bermain atau hanya disimpan di rumah kerana dikhuatiri ia rosak,” katanya.
Sinar Harian: 6 September 2009
Ahad, 6 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan