Khamis, 10 September 2009

Program Semangat Ubi Kayu imbau sejarah



PUTRAJAYA – Program Semangat Ubi Kayu yang dianjurkan oleh Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) sempena sambutan bulan kemerdekaan banyak mengimbau sejarah negara sewaktu zaman penjajahan Jepun.

Guru Sejarah selaku penyelaras program berkenaan, Khoo Poh Suan berkata, kesemua pelajar yang terlibat dapat mengalami pengalaman sedemikian apabila mereka bekerjasama mengadakan gotong-royong untuk menyediakan menu ‘ubi kayu rebus’.

Menurutnya, kira-kira 100 kilogram ubi kayu dibekalkan untuk menyiapkan menu tersebut dan seramai kira-kira 850 pelajar terdiri daripada tingkatan satu hingga lima membuat persediaan bahan.

“Kesemua pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada mereka. Ada dalam kalangan mereka yang ditugaskan untuk membersihkan ubi kayu dan ada juga yang merebusnya,” katanya.

Selain itu beliau berkata, terdapat juga menu makanan sampingan seperti sambal ikan bilis dan sebagainya untuk melengkapkan menu masakan ubi kayu tersebut.

Kata Poh Suan, antara matlamat program berkenaan adalah untuk mengingati kembali pengalaman penduduk negara ini yang satu ketika dahulu mengalami keperitan hidup sewaktu negara dijajah.

“Selain itu, program ini juga dapat memberikan keinsafan kepada pelajar untuk menghargai makanan tradisional dan yang paling penting mereka perlu sentiasa rasa bersyukur dengan keadaan negara kita pada masa ini.

“Dengan negara yang aman dan makmur, sebagai pelajar mereka seharusnya memikul tanggungjawab untuk terus mengekalkan keamanan tersebut dan menghargai kemerdekaan yang dicapai selama 52 tahun,” katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti yang diadakan bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan SAS antaranya termasuk Malam Genta Puisi Kemerdekaan, pemasangan Jalur Gemilang di persekitaran kawasan sekolah dan sebagainya.

Sinar Harian: 10 September 2009

Tiada ulasan: