Khamis, 10 September 2009

82 pelajar ponteng berjaya dicekup



KUALA LUMPUR – Seramai 82 pelajar sekolah berjaya ditangkap dalam satu operasi bersepadu membanteras kaki ponteng yang pertama kali dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Keramat Kuala Lumpur.

Kawasan yang menjadi tumpuan dalam operasi tersebut adalah di Setiawangsa, Titiwangsa dan Danau Kota yang turut melibatkan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sentul , Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pegawai Pelajaran Keramat, Ismail Ibrahim berkata, operasi yang dinamakan ‘Jom Ke Sekolah’ ini adalah antara usaha Kementerian Pelajaran ke arah kebaikan sebagai isyarat kepada masyarakat iaitu anak-anak mesti berada di sekolah sewaktu sesi persekolahan.

Menurutnya, program dan operasi yang diadakan ini adalah lebih kepada memberi kesedaran dan motivasi kepada pelajar terlibat dan bukanlah untuk menghukum mereka di atas kesalahan yang dilakukan.

“Ini kerana kita merasakan pelajar-pelajar ini lebih selamat berada di sekolah daripada berada di luar kawasan yang belum pasti akan terjamin selamat.

“Kita hanya mengambil mereka dan membawa mereka ke Pejabat Pelajaran dan memberi kaunseling dan motivasi sebagai proses pemulihan kepada mereka di atas kesalahan yang mereka lakukan.

“Kemudian , barulah kita menghubungi sekolah pelajar yang terbabit ataupun para ibu bapa pelajar untuk mengambil mereka dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya,” kata Ismail.

Katanya, dalam pada itu, pihaknya juga meminta kerjasama dengan agensi lain seperti polis kerana pihaknya tiada kuasa untuk menangkap pelajar sekolah dan di luar bidang kuasa.

“Dalam operasi ini, Jabatan Pelesenan DBKL turut terlibat bersama bagi memantau pusat kafe siber yang tidak mengikut peraturan kerana membenarkan pelajar sekolah memasuki premis .

“Begitu juga pihak AADK yang bersama-sama dengan operasi ini untuk memeriksa pelajar sama ada mereka ada pengaruh dadah atau perkara lain,” katanya.

Menurutnya, operasi seperti ini akan diadakan sekali lagi selepas tamat peperiksaan Oktober ini.

Sinar Harian: 10 September 2009

Tiada ulasan: