Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat memandang serius berhubung penularan wabak Influenza A (H1N1) kepada masyarakat khususnya di kalangan murid-murid sekolah. Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 Bil. 2/2009 yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri pada 4 Ogos 2009 telah membuat keputusan bahawa pelaksanaan peperiksaan awam tetap diteruskan mengikut jadual sebagaimana yang telah disiarkan dalam akhbar tempatan pada 5 Ogos 2009. Maklumat peperiksaan awam tahun 2009 adalah seperti berikut:
Peperiksaan | Tarikh | Bilangan Pusat | Bilangan Calon | Bilangan Petugas Peperiksaan |
UPSR | 8 – 10 Sept 2009 | 8,236 | 517,922 | 33,000 |
PMR | 7 – 9 Okt 2009 dan 12 – 13 Okt 2009 | 3,495 | 474,029 | 21,000 |
STAM | 19 – 21 Okt 2009 dan 26 – 27 Okt 2009 | 98 | 6,912 | 300 |
SPM | 19 Nov 2009 – 16 Dis 2009 | 3,908 | 430,149 | 23,000 |
STPM | 18 Nov 2009 – 10 Dis 2009 | 757 | 55427 | 4,130 |
JUMLAH | 16,494 | 1,484,439 | 81,430 |
Ini adalah perkara yang perlu diketahui umum sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
- Situasi pertama, murid yang telah dimasukkan ke wad boleh menduduki peperiksaan di hospital.
- Situasi kedua, murid yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti wabak Influenza A (H1N1) akan dikenalpasti oleh guru sekolah sebelum peperiksaan dan akan diasingkan dari murid-murid yang sihat untuk menduduki peperiksaan di bilik khas di pusat peperiksaan di sekolah.
- Situasi ketiga, jika penularan wabak tidak dapat dibendung hanya murid yang menduduki peperiksaan sahaja diminta hadir ke sekolah, manakala murid lain diberi cuti sehingga peperiksaan tamat.
KPM telah membuat persediaan rapi termasuklah bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani wabak ini.
KPM memerlukan maklumat sebenar dari calon agar pemantauan dan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada calon. KPM memohon pihak sekolah agar sentiasa peka terhadap kesihatan calon dan menyalurkan maklumat calon kepada bilik gerakan. KPM akan mengoperasikan bilik gerakan di peringkat Pusat dan Jabatan Pelajaran Negeri serta Pejabat Pelajaran Daerah seminggu sebelum peperiksaan bermula.
Saya menasihatkan pihak pentadbir sekolah untuk meningkatkan tahap kebersihan murid-murid dan sekolah agar penularan Influenza A (H1N1) dapat dikawal. Di sekolah, pengetua, guru besar dan guru bertugas dikehendaki membuat pemeriksaan sebelum peperiksaan bermula untuk membolehkan murid sihat diasingkan dari murid yang menunjukkan gejala wabak ini. Calon yang menunjukkan gejala wabak atau telah dijangkiti wabak akan dibantu dengan membekalkan topeng muka semasa peperiksaan.
Saya bagi pihak KPM menyeru dan menasihatkan supaya semua ibu bapa sentiasa peka dan mengikut panduan penjagaan kesihatan serta mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak virus ini dari terus merebak dan mengancam kesihatan anak-anak kita. Sekiranya anak-anak menunjukkan gejala dijangkiti wabak ini, segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kepada para petugas peperiksaan juga diingatkan agar mematuhi arahan dan mengambil langkah pencegahan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan pula, saya menasihatkan agar menjaga kesihatan diri semoga tidak dijangkiti penyakit ini dan dapat menduduki peperiksaan.
Saya mendoakan semua calon dilindungi Allah supaya dapat menduduki peperiksaan dengan jayanya. Manakala bagi warga sekolah dan para petugas peperiksaan bersama-samalah kita berdoa agar dijauhi dari wabak ini.
Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
Portal Rasmi KPM:7 September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan