Isnin, 28 September 2009

Kejayaan SMK Ayer Puteh Dalam luar biasa

PENDANG – Kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh Dalam amat tidak disangka apabila mencipta sejarah setelah muncul johan pada Kejohanan Bola Sepak Luar Musim Kategori Bawah 14 Tahun, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Pendang tahun 2009 menundukkan pasukan pilihan SMK Tunku Temenggung 1-0.

Pasukan yang sebelum ini dilabel sebagai pasukan belasahan tiba-tiba mempamerkan aksi mantap sepanjang kejohanan itu.

Saingan di peringkat kumpulan tidak begitu memberangsangkan apabila SMK Ayer Puteh Dalam mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan SMK Pendang dan SMK Kubor Panjang.

SMK Ayer Puteh Dalam bangkit pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan apabila membelasah SMK Sungai Tiang 3-0 untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Saingan separuh akhir mempertemukan sekolah itu dengan juara kumpulan A, SMK Tanah Merah dan keputusan memihak kepada SMK Ayer Puteh Dalam dengan kemenangan 3-2 dalam perlawanan yang begitu mendebarkan.

Jurulatih pasukan, Zairon Zainol berkata, aksi di pentas final yang diidamkan pemain digunakan dengan mempamerkan tentangan bertenaga.

Cubaan penyerang SMK Ayer Puteh Dalam, Md Khir Ismail pada minit terakhir perlawanan terkena pemain pertahanan pasukan SMK Tunku Temenggung dan bola menerjah jaring untuk memberi kemenangan mutlak 1-0.

Beliau berkata, kejayaan sekolah ini amat tidak disangka dan ia akan menjadi penyuntik semangat anak buahnya pada kejohanan akan datang.

Sinar Harian: 28 September 2009

Tiada ulasan: