Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang, Esah Kassim berkata, pihak sekolah sememangnya menyediakan program awal melalui ceramah, motivasi dan sebagainya kepada murid yang selesai menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mendedahkan mereka mengenai kehidupan awal remaja.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan murid sekolah tidak terlalu terperanjat dengan alam persekolahan menengah yang nyata jauh lebih mencabar dalam pelbagai aspek seperti pembelajaran dan pencapaian akademik serta ko-kurikulum berbanding persekolahan rendah.
“Kehidupan awal remaja juga banyak cabaran dari segi pergaulan atau sosialnya di mana pada peringkat ini, murid yang sudah beranjak ke alam awal remaja akan lebih mudah terikut-ikut serta terpengaruh dengan rakan berbanding keluarga sendiri.
“Pihak sekolah merangka pelbagai program bersesuaian untuk murid Tahun Enam iaitu seramai 66 orang dengan kerjasama agensi lain antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jelebu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan mereka didedahkan dengan kehidupan awal remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di Taman Sri Chempedak, malam semalam.
Sementara itu, Esah berkata, sumbangan yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat untuk kegunaan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bakal dimanfaatkan sebaik mungkin terutama dalam penyediaan program kecemerlangan kepada murid Tahun Lima dan Empat bagi menghadapi UPSR.
“Pihak sekolah bersama PIBG sememangnya sering merangka program akademik dari semasa ke semasa untuk memastikan kecemerlangan sekolah dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun,” katanya.
Sinar Harian: 13 September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan