Jumaat, 11 September 2009

Gagal PMR, ulang semula tingkatan tiga?

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Seorang tokoh pendidikan menyarankan supaya pendekatan mengulang tingkatan dilaksanakan semula terhadap pelajar tingkatan tiga yang gagal dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) berbanding membenarkan mereka naik ke tingkatan empat secara automatik.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, perkara tersebut merupakan cadangan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan selain membenarkan pelajar meneruskan pelajaran dengan mengambil mata pelajaran vokasional.

''Ia untuk mengelakkan berlakunya pembaziran tenaga dan kewangan dalam sistem pendidikan negara," jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas surat pembaca di ruangan forum akhbar ini yang meminta kerajaan mengkaji semula dasar yang membenarkan pelajar naik ke tingkatan empat biarpun gagal dalam PMR.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Annuar Syed Mohamad pula berkata, pihaknya memang tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Pelajaran melonggarkan syarat ketat untuk naik ke tingkatan empat sebelum ini.

Katanya, sudah tiba masanya sistem itu diteliti semula bagi membolehkan proses penilaian sebenar dilakukan terhadap pelajar.

''Pelajar PMR yang gagal tidak boleh dipaksa naik ke tingkatan empat untuk mengambil mata pelajaran yang tidak diminati kerana ia membuang masa mereka sahaja.

''Sebaliknya, beri pilihan dan peluang kepada pelajar untuk mengikuti mata pelajaran berasaskan kemahiran di sekolah vokasional,'' ujarnya.

Menurut Syed Annuar, memang tidak dinafikan golongan pelajar tersebut juga boleh mendatangkan masalah kepada sekolah, oleh itu kajian segera dasar itu perlu dilakukan demi menjana pembinaan modal insan.

Pandangan sama turut disuarakan oleh tokoh pendidikan, Tan Sri Ainuddin Wahid yang berpendapat kerajaan perlu melihat dan mengkaji semula dasar tersebut.

''Sesebuah sistem peperiksaan diadakan adalah untuk menilai kemampuan dan tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran yang dipelajari,'' ujarnya.

Beliau berkata, tidak perlu diadakan peperiksaan sekiranya pelajar hanya mengambilnya tanpa mahu menguasai mata pelajaran tersebut dan sekadar melengkapkan syarat untuk naik tingkatan.

Utusan Malaysia Online: 11 September 2009

Tiada ulasan: