Selasa, 8 September 2009

4,690 murid UPSR duduki peperiksaan di 58 sekolah



PASIR MAS- Seramai 4,690 murid di peringkat pelajaran daerah Pasir Mas menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah UPSR) hari ini di 58 sekolah masing-masing.

Pegawai PPD Pasir Mas, Rosnah Wan Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut pihaknya meletakkan sasaran seramai 1,060 murid akan mencapai keputusan 5A dalam peperiksaan kali ini.

Menurutnya, sasaran tersebut meletakkan peratus am sebanyak 80 peratus pada tahun ini.

“Kita telah mula mengadakan pelbagai aktiviti untuk memantapkan lagi pelajaran mereka sejak Januari sehingga ke hari ini supaya mereka akan lebih berkeyakinan untuk menduduki peperiksaan.

“Pihak kami juga mengharapkan sasaran yang di letakkan oleh PPD dan juga guru akan dapat tercapai pada tahun ini dan seterusnya dapat merealisasikan visi PPD iaitu PPD Pasir Mas tersohor 2010,” katanya ketika di temui semalam.

Rosnah berharap peperiksaan pada bulan Ramadhan ini tidak akan mematahkan semangat murid untuk menjawab soalan peperiksaan UPSR dengan baik.

Beliau juga turut menasihatkan ibu bapa sekiranya anak mereka yang menduduki peperiksaan mempunyai tanda batuk, demam dan selesema mereka perlu memaklumkan pihak pengurusan sekolah supaya dapat diasingkan dengan murid lain.

“Kita telah menyediakan bilik khas untuk pelajar yang mempunyai gejala batuk, selesema dan demam supaya tidak berjangkit dengan murid lain.

“Kita juga menyediakan topeng muka kepada semua murid sebagai langkah berjaga-jaga dengan influenza H1N1,” katanya.

Sinar Harian: 8 September 2009

Tiada ulasan: